Pengenalan
Kira-kira 71 peratus bumi dilitupi oleh air dan daripada jumlah itu hanya 3 peratus air yang
boleh digunakan untuk minuman atau air tawar. Masalah air tawar yang dicemari oleh
pelbagai bahan buangan atau sisa kian banyak berlaku. Air sungai menjadi kehitam-hitaman
dan coklat disebabkan oleh kandungan sisa yang dicurah ke dalamnya.
Punca Pencemaran Air
1. Aktiviti penerokaan hutan untuk tujuan pembangunan
Penggondolan hutan telah menyebabkan kerosakan kawasan tadahan air dan mengurangkan
fungsi hutan sebagai penyerap air. Air hujan akan turun secara terus ke permukaan bumi
dan membawa bersama-sama tanah yang terhakis ke punca air seperti sungai dan tasik.
Air sungai menjadi kotor dan berlumpur. Pembinaan rumah untuk penempatan sering kali
mengabaikan faktor keseimbangan ekosistem.
2. Pembuangan sisa toksik dan sampah ke dalam punca air
Kilang-kilang industri dan rumah sering mengalirkan sisa ke dalam sungai dan parit menyebabkan
air sungai menjadi kotor. Air menjadi busuk dan tidak sesuai untuk digunakan. Pembuangan
merkuri, plumbum, dan sianida akan mendatangkan kematian dan kerencatan kepada manusia.
3. Aktiviti pertanian
Penggunaan racun dalam pertanian amat banyak menyumbang kepada pencemaran air.
Penyemburan racun serangga dan rumput serta kulat menyebabkan pertumbuhan alga dan
tumbuhan kecil di dalam sumber air. Punca air akan tercemar dengan pelbagai bahan racun
dan berkeladak.
4. Aktiviti perlombongan
Kegiatan lombong dedah dan pam kelikir untuk melombong bijih timah mengakibatkan
sisa perlombongan mengalir ke dalam punca air. Air menjadi berkeladak dan keruh.
5. Aktiviti penangkapan ikan yang salah
Terdapat nelayan yang menjalankan aktiviti mengebom ikan bagi memudahkan penangkapan
ikan dalam jumlah yang banyak. Ikan-ikan akan mati dan banyak hidupan marin yang akan
musnah, manakala air menjadi keruh dan tercemar.