22 Mei, 2022

RUMAH TRADISIONAL MELAYU

 

Cara Dan Langkah Memelihara Rumah Tradisional Melayu


Contoh Karangan

 

Rumah tradisional Melayu adalah antara senibina terawal yang merupakan tempat kediaman tradisional masyarakat penduduk asal etnik Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sumatera dan Kalimantan. Sehingga kini, kita masih lagi dapat melihat rumah-rumah tradisional ini berdiri dengan kukuh di kawasan-kawasan kampung atau pedalaman. Kesenian pertukangannya disampaikan secara turun temurun dari generasi ke generasi dan telah mengalami proses transformasi selama bertahun-tahun mengikut arus pemodenan hari ini. Rumah tradisional Melayu juga mempunyai pelbagai unsur yang diambil kira sebelum proses pembinaan telah mendapat perhatian dunia kerana ciri-ciri yang unik dan berteraskan agama dan kebudayaan masyarakat ketika itu. Namun, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memelihara rumah tradisional Melayu daripada tenggelam dek ditelan zaman?

Prakarsa utama dalam memelihara rumah tradisional melayu adalah dengan mengenalpasti ciri-ciri dan kriteria seni bina tersebut. Pasti ramai di antara kita, yang mengenali peribahasa tak kenal, maka tak cinta. Oleh itu, pihak berkuasa dengan kerjasama sejarawan dan pakar seni bina wajar mengkaji dan dan menetapkan ciri-ciri yang kukuh dalam mengkategorikan sebuah rumah tradisional melayu. Sebagai contoh, rumah tradisional melayu di Negeri Sembilan mempunyai bumbung yang berbeza berbanding rumah tradisional melayu di negeri lain. Manakala di Melaka, terdapat tangga yang dihiasi jubin berwarna-warni. Proses mengenal pasti dan kajian boleh  digunakan oleh para ilmuwan dalam menjadikan rumah tradisional melayu sebagai elemen pembelajaran di setiap peringkat institusi pembelajaran. Kesannya, generasi muda akan didedahkan dengan keunikan seni bina rumah tradisonal melayu dan memupuk kecintaan terhadap warisan bangsa ini.

Selain itu, pemeliharaan rumah tradisional melayu boleh dilakukan dengan mengasimilasikan seni bina tersebut ke dalam bangunan atau binaan baharu hari ini. Realiti pada hari ini, pembangunan di dalam negara berjalan dengan rancak dan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Namun, kebanyakkan seni bina atau reka bentuk bangunan tidak disematkan ciri-ciri tradisional yang mampu menunjukkan kekayaan warisan budaya yang kita miliki. Jika kita lihat pada waktu negara kita dijajah oleh Portugis dan British, mereka telah membina bangunan yang mempunyai ciri-ciri negara mereka di Kota Melaka iaitu Bangunan Stadthuys yang masih gah berdiri sehingga hari ini. Oleh itu, kita sebagai nusa bangsa yang pernah menjadi pusat dagangan utama dunia pada waktu dahulu perlu mempunyai wawasan yang lebih tinggi berbanding penjajah asing. Muzium Negara merupakan contoh terbaik dalam mengasimilasikan seni bina tradisional melayu pada bangunan-bangunan yang ikonik. Diharapkan para arkitek dan jurutera yang ditugaskan untuk membina bangunan ataupun projek perumahan meletakkan elemen-elemen tradisional melayu supaya warisan yang dimiliki ini tidak luput dek pemodenan zaman.

Langkah seterusnya dalam memelihara rumah tradisional melayu adalah dengan mewartakan rumah-rumah tradisional ini sebagai kawasan pelancongan. Konsep ini merupakan kaedah yang digunakan bagi memperlihatkan keunikan yang kita miliki kepada pelancong-pelancong asing. Mutakhir ini, konsep pelancongan inap desa semakin mendapat perhatian setelah diketengahkan oleh pihak berkuasa. Pelancong asing akan menginap dan menikmati kehidupan masyarakat di kampung selama beberapa hari bagi mendapatkan pengalaman tentang budaya dan tradisi masyarakat di Malaysia. Di kesempatan itu, rumah-rumah tradisional yang berkeadaan baik dan cantik wajar menjadi pilihan penginapan mereka. Perkara ini dapat memberikan pengalaman yang berbeza kepada mereka di samping memelihara budaya dan warisan bangsa yang kita miliki. Ia juga mampu menjadi inspirasi kepada mereka sekiranya ingin menambah elemen tradisional yang dipelajari untuk menghiasi rumah mereka di sana. Maka, program inap desa wajar menjadi agenda dalam industri pelancongan di mana usaha pemeliharaan rumah tradisional melayu juga dapat dijamin dan dilaksanakan.

Akhir sekali, langkah yang paling utama dalam memelihara rumah-rumah tradisional melayu adalah dengan memastikan pihak berkuasa menjalankan peranan mereka bersama-sama ahli masyarakat. Setiap usaha yang dibincangkan di atas boleh dijayakan sekiranya wujud sinergi yang kuat antara pihak berkuasa dan pemilik rumah-rumah tradisional melayu dalam memelihara seni bina warisan negara ini. Jika sebuah agensi dapat diwujudkan bagi mengurus dan menyusun strategi terbaik untuk memelihara seni bina rumah tradisional melayu. Inisiatif ini  sesuai dengan peruntukan akta yang tersebut dalam Heritage Acts, 2005 yang lebih komprehensif dalam menyediakan satu mekanisma dari segi khidmat pengurusan , penguatkuasaan, pembiayaan dan pengiktirafan. Kerja-kerja penyelenggaraaan boleh dijalankan dan diperhati oleh ahli masyarakat serta berkongsi kaedah terbaik dalam usaha menyelenggara bahagian-bahagian di dalam rumah tersebut. Senario ini adalah sama dalam mendepani segala jenis masalah yang membelenggu rakyat di mana kerjasama yang baik antara pihak berkuasa dan masyarakat tempatan bagai aur dan tebing akan memberikan hasil yang berbaloi serta bermanfaat bagi kedua-dua pihak.

Konklusinya, pelbagai langkah boleh dilaksanakan demi memelihara rumah tradisional melayu pada masa kini. Malahan terdapat tradisi yang memindahkan rumah tradisional melayu secara manual ke tempat yang lebih baik dan dilakukan sehingga hari ini. Setiap pihak perlu berganding bahu dalam usaha mengekalkan seni bina peninggalan nenek moyang kita untuk tatapan generasi akan datang. Mekasnisme terbaik harus dibincangkan dan direncana oleh pihak yang terlibat agar usaha ini tidak menjadi sia-sia. Seni bina merupakan warisan dan sejarah negara yang perlu diketahui oleh generasi akan datang supaya mereka kenal dan menghargai keunikan dan kekayaan ilmu masyarakat dahulu. Seterusnya menjadi iktibar supaya mereka berusaha menjadi lebih baik dan bakal memacu negara ke arah kemajuan yang tertinggi daripada generasi-generasi sebelum ini.

 

19 Mei, 2022

BULAN KEMERDEKAAN (PART 3)

 


TEMA HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA DARI 1970 HINGGA 2021


1970    Muhibah dan Perpaduan

1971    Masyarakat Progresif

1972    Masyarakat Adil

1973    Masyarakat Kebudayaan Malaysia

1974    Sains dan Teknologi Alat Perpaduan

1975    Masyarakat Berdikari

1976    Ketahanan Rakyat

1977    20 Tahun Bersatu Maju

1978    Kebudayaan Seni Perpaduan

1979    Bersatu Berdisiplin

1980    Berdisiplin Berbakti

1981    Berdisiplin Berharmoni

1982    Berdisiplin Giat Maju

1983    Bersama ke Arah Kemajuan

1984    Amanah Asas Kejayaan

1985    Nasionalisme Teras Perpaduan

1986    Bangsa Tegas Negara Teguh

1987    Setia Bersatu Berusaha Maju

1988    Bersatu

1989    Bersatu

1990    Berjaya

1991    Wawasan 2020

1992    Wawasan Asas Kejayaan

1993    Bersatu Menuju Wawasan

1994    Nilai Murni Jayakan Wawasan

1995    Jatidiri Penggerak Wawasan

1996    Budaya Penentu Kecapaian

1997    Akhlak Mulia Masyarakat Berjaya

1998    Negara Kita Tanggungjawab Kita

1999    Bersatu Ke Alaf Baru

2000-2006      Keranamu Malaysia

2007    Malaysiaku Gemilang

2008    Perpaduan Teras Kejayaan

2009    1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

2010    1Malaysia Menjana Tranformasi

2011    1Malaysia. Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera.

2012    1Malaysia. Janji Ditepati[6]

2013    Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku

2014    Malaysia... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

2015-2016      Sehati Sejiwa

2017    Negaraku Sehati Sejiwa

2018    Sayangi Malaysiaku

2019    Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih

2020-2021      Malaysia Prihatin


BULAN KEMERDEKAAN (PART 2)

 



Cadangan Pertandingan Sempena Bulan Kemerdekaan

 

  1. Pertandingan nyanyian lagu patriotik
  2. Pertandingan kuiz Hari Kebangsaan
  3. Pertandingan mendeklamasi sajak kemerdekaan
  4. Pertandingan melukis poster Hari Kebangsaan
  5. Pertandingan mewarna
  6. Pertandingan menulis esei
  7. Pertandingan membina replika/ tugu kebangsaan
  8. Pertandingan pakaian bertema Hari Kebangsaan/ Jalur Gemilang
  9. Pertandingan pantun Hari Kebangsaan
  10. Pertandingan hasilkan video pendek kemerdekaan
  11. Pertandingan sudut kemerdekaan
  12. Pertandingan teka silang kata kemerdekaan
  13. Pertandingan sukan warisan/ tradisional (gasing, wau dll)
  14. Pertandingan menghasilkan buku skrap tentang sejarah kemerdekaan
  15. Pertandingan menghias basikal
  16. Pertandingan drama sebabak/ patriotisme
  17. Pertandingan tarian tradisional
  18. Pertandingan persembahan tradisonal seperti ulik mayang, boria, dikir barat, dondang sayang dan lain-lain mengikut negeri.
  19. Pertandingan menghias kelas
  20. Pertandingan memasak masakan tradisional

 

 

 

 

Cadangan Aktiviti Sempena Bulan Kemerdekaan

 

  1. Majlis pelancaran bulan kemerdekaan.
  2. Solat hajat/bacaan yasin sempena bulan kemerdekaan
  3. Larian kemerdekaan/ Hari Kebangsaan
  4. Menghias kelas sempena Hari Kebangsaan
  5. Menghias kawasan sekolah sempena Hari Kebangsaan
  6. Mengantung/ menghasilkan kain rentang kemerdekaan
  7. Ceramah tentang tokoh-tokoh kemerdekaan
  8. Perarakan Hari Kebangsaan/ Kawad kaki
  9. Melakonkan situasi hari kemerdekaan
  10. Hasilkan bendera dari bahan terbuang (botol, tin)
  11. Tayangan film/video kemerdekaan (Sarjan Hassan dll)
  12. Sambutan Ambang Kemerdekaan (malam 30 ogos)
  13. Berbasikal/kayuahan sempena Hari Kebangsaan
  14. Konvoi merdeka
  15. Pameran kemerdekaan
  16. Kibarkan jalur gemilang
  17. Menjemput tentera/askar untuk membuat persembahan
  18. Hasilkan sudut patriotisme di dalam kelas
  19. Bicara spontan Hari Kebangsaan
  20. Pelancaran Hari Kemerdekaan
  21. Laungan Hari Kemerdekaan
  22. Gantung Kain Rentang
  23. Memakai pakaian tradisional
  24. Majlis penutupan sambutan kemerdekaan.


BULAN KEMERDEKAAN (PART 1)

 

Aktiviti yang Boleh Dijalankan Sepanjang Bulan Kemerdekaan

 

 

Pendahuluan

  1. Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah membuatkan masyarakat hari ini lupa dengan sejarah perjuangan nenek dan moyang kita dalam mengecapi kemerdekaan untuk negara. 
  2. Oleh itu, bulan kemerdekaan sering kali dianjurkan bagi merai dan menghargai jasa dan pengorbanan rakyat terdahulu yang telah memberikan kita nikmat kehidupan yang aman dan sejahtera pada masa kini. 
  3. Kebebasan daripada cengkaman penjajah adalah suatu yang tidak boleh dibayangkan oleh masyarakat hari ini terutamanya daripada golongan kanak-kanak. 
  4. Maka, aktiviti-aktiviti menarik yang mampu membuka mata murid-murid di sekolah tentang kepentingan mencapai kemerdekaan bagi sesebuah negara wajar untuk dilaksanakan.

 


 Aktiviti-aktiviti yang Boleh Dilakukan



1.Pertandingan Dekorasi Kelas

  1. Antara aktiviti yang lazim dijalankan di setiap sekolah adalah pertandingan mendekorasi bilik darjah atau kelas mengikut tema kemerdekaan. 
  2. Pertandingan ini dapat melahirkan sifat bersaing secara sihat antara murid-murid serta mengetengahkan kreativiti mereka. 
  3. Peribahasa Melayu ada berkata, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. 
  4. Dengan bimbingan daripada guru-guru, pelajar pasti dapat menghasilkan dekorasi-dekorasi yang menarik seperti sudut tokoh-tokoh negara dan hiasan yang menggunakan Jalur Gemilang. 
  5. Secara tidak langsung, murid-murid akan didedahkan dengan elemen patriotik apabila mereka menggunakan Jalur Gemilang. 
  6. Guru-guru juga digalakkan untuk menunjukkan panduan apabila kita ingin mengibarkan bendera kebangsaan kita kerana ia merupakan simbolik yang tinggi dan  perlu dihormati oleh segenap rakyat Malaysia.

 

2.Koir lagu patriotik

  1. Selain itu, pihak sekolah dengan bimbingan daripada para guru juga boleh menganjurkan pertandingan koir yang bertemakan lagu patriotik. 
  2. Mutakhir ini, lagu patriotik semakin dilupakan kerana kurang mendapat masa penyiaran di media arus perdana. 
  3. Kesannya, ramai di antara ahli masyarakat khususnya golongan muda tidak tahu akan kewujudan lagu-lagu yang khas dicipta bagi meraikan kemerdekaan dan kejayaan negara. 
  4. Justeru, aktiviti ini dapat menyemarakkan semula keindahan lagu-lagu patriotik yang kaya dengan bait-bait lirik yang cukup bermakna serta mampu menjadi pengajaran kepada semua. 
  5. Pesembahan koir juga dapat menyerlahkan bakat murid-murid yang berpotensi dalam nyanyian dan memupuk semangat kerjasama bagi menghasilkan persembahan koir yang baik. 
  6. Jelasnya, aktiviti yang memeberikan pelbagai manfaat secara langsung dan tidak langsung wajar dianjurkan sempena bulan kemerdekaan.

 

3.Lawatan ke muzium dan bangunan bersejarah

  1. Aktiviti lain yang dapat menarik minat murid-murid sepanjang bulan kemerdekaan adalah dengan melakukan lawatan ke muzium dan bangunan-bangunan bersejarah. 
  2. Hal ini demikian kerana mereka dapat keluar daripada bilik darjah dan berkunjung ke tempat yang belum pernah dilawati. 
  3. Di muzium, para pelajar akan dibawa menelusuri sejarah-sejarah negara pada masa dahulu serta berpeluang melihat dan menyentuh artifak atau model senjata, pakaian dan barang-barang keperluan lain yang digunakan oleh masyarakat terdahulu. 
  4. Manakala lawatan ke bangunan bersejarah seperti Tugu Negara dapat memberikan suasana yang berbeza kepada mereka dan mempelajari sejarah disebalik bangunan tersebut dibina. 
  5. Senario ini dapat memberikan pengalaman berbeza kepada para pelajar yang selama ini belajar secara teori di dalam buku teks dan seterusnya dapat melihat secara langsung artifak-artifak yang mempunyai nilai sejarah kepada negara. 
  6. Ia merupakan alternatif yang sesuai bagi mendidik kanak-kanak khususnya berkaitan dengan sejarah dan kemerdekaan tanah air.

 

4.Menghasilkan video patriotik

  1. Di samping itu, aktiviti yang menarik untuk dijalankan sepanjang bula kemerdekaan adalah dengan mengajurkan pertandingan mencipta video-video patriotik. 
  2. Kaedah ini sejajar dengan budaya masa kini yang mengaplikasikan teknologi dalam kehidupan masyarakat di mana video adalah kandungan yang mudah dan diminati oleh semua. 
  3. Maka, kita perlu mengambil kesempatan kemajuan teknologi hari ini untuk mencabar kreativiti murid-murid dalam menghasilkan video yang mempunyai elemen cinta akan negara. Sebagai inspirasi, terdapat banyak filem-filem patriotik yang telah diterbitkan seperti Leftenan Adnan dan Sarjan Hassan.
  4.  Industri animasi kita yang semakin mendapat pengiktirafan dan diminati ahli masyarakat juga wajar dijadikan contoh kerana mereka meletakkan elemen-elemen patriotik dalam kandungan yang diterbitkan. 
  5. Hasilnya, kreativiti pelajar dapat diasah disamping mempelajari, menghargai dan merai jasa dan pengorbanan masyarakat serta tokoh-tokoh untuk mengecapi kemerdekaan hari ini.

 

Penutup

  1. Konklusinya, pelbagai aktiviti menarik yang boleh direncana sepanjang bulan kemerdekaan bagi memupuk semanagt patriotik dalam kalangan murid-murid. 
  2. Bagi  mengukuhkan persefahaman dan semangat kekitaan dalam kalangan rakyat, aktiviti-aktiviti yang berpaksikan semangat patriotisme ini hendaklah dititikberatkan sejak di bangku sekolah lagi. 
  3. Persis kata mutiara, melentur buluh biarlah dari rebungnya. 
  4. Justeru, ibu dan bapa boleh membantu para guru untuk menjalankan aktiviti yang menjadi pemangkin perpaduan antara masyarakat kita supaya masa hadapan negara terjamin dengan semangat patriotik yang kuat dan utuh dalam setiap individu yang bergelar rakyat Malaysia. 
  5. Semoga benih yang ditanam hari ini tumbuh mekar dan membuahkan hasil yang bermanfaat dan mampu dinikmati oleh segenap penduduk tanah air ini.



18 Mei, 2022

PERUMAHAN (PART 2) - BINA JUAL


Konsep Bina Dan Jual: Menguntungkan Pembeli Dan Pemaju Perumahan

Syed Mahadzir Syed Ibrahim

 

RUMAH merupakan perkara utama yang menjadi impian semua manusia. Memiliki atau mendiami rumah sendiri adalah saat yang amat dinanti-nantikan. Sebab itulah kita dapati semua orang berusaha keras untuk mendapatkan rumah walau terpaksa berhutang. Dalam soal ini, ramai yang menanggung kerugian dan sengsara disebabkan oleh pelbagai penipuan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terutama pemaju perumahan yang berkepentingan sendiri.

 

Dalam media massa, saban waktu kita diperdengarkan pelbagai cerita tentang keperitan para pembeli yang diibaratkan ‘menangis hingga tiada airmata’ apabila ‘istana’ idaman mereka bertukar menjadi ‘belukar’ atau hanya tinggal tiang cerucuk sahaja gara-gara sikap pemaju yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan sendiri terpaksa mengeluarkan sehingga RM3 bilion bagi memulihkan projek-projek terbengkalai terutama projek perumahan di seluruh negara, melibatkan 172 projek meliputi 32,000 buah rumah. Daripada jumlah itu, 12,000 buah rumah telah disiapkan manakala 20,000 unit lagi masih dalam pembinaan.

 

Melalui statistik sehingga 30 September 2005, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah dipertanggungjawab mengambilalih dan seterusnya memulihkan 176 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara membabitkan 51,413 unit rumah dengan anggaran nilai projek sebanyak RM4.3 bilion. Malah jika diteliti rekod aduan yang diterima Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) pada Mac 2008 menunjukkan bahawa aduan mengenai masalah perumahan dan perkhidmatan syarikat pengurusan perumahan adalah aduan tertinggi daripada keseluruhan 18,579 aduan. Ia merangkumi masalah rumah terbengkalai dan lewat mendapat sijil layak menduduki (CFO).

 

Lantaran itulah kerajaan telah memperkenalkan konsep bina dan jual dalam hasrat membela nasib para pembeli di mana pembeli hanya perlu membayar deposit sebanyak 10% daripada harga belian dan kemudian menandatangani perjanjian jual beli dengan pemaju. Ini juga bermakna para pembeli perlu tunggu rumah tersebut siap dalam tempoh dua tahun dan kemudian barulah pembayaran akhir dilunas atau pembiayaan melalui bank dimulakan. Tidak lagi seperti yang diamalkan sebelum ini iaitu pembeli perlu menanggung beban pembayaran progresif atau lebih teruk lagi menanggung hutang bank bertahun-tahun lamanya sedangkan rumah tidak siap atau rumah yang diterima indah khabar dari rupa.

 

Apa yang berlaku pada masa ini ialah pemaju menjalankan projek perumahan dengan menggunakan duit pembeli. Risiko juga kurang jika pemaju menggunakan konsep bina dan jual ini. Pembeli yang ingin membeli rumah diwajibkan membayar deposit 10% daripada harga asal rumah dan bakinya secara tunai atau membuat pinjaman bank. Bagi yang membuat pinjaman bank, pihak bank akan membuat bayaran kepada pemaju mengikut fasa sehingga projek itu siap.

 

Kebanyakan pemaju didapati lebih berminat melaksanakan konsep sekarang kerana tidak perlu mengeluarkan wang sendiri. Semua perbelanjaan projek itu ditanggung oleh pembeli menerusi pinjaman perumahan yang dibuat. Ia bermakna pembeli yang terpaksa membayar faedah pinjaman bank, bukan pemaju. Namun begitu, konsep sekarang juga didapati lebih memudahkan pemaju mengambil kesempatan menipu pihak bank dengan membuat tuntutan awal. Contohnya, ketika projek pembinaan berjalan 40%, pemaju boleh membuat tuntutan sehingga 60% selepas mendapat sokongan arkitek. Pembeli tidak berhadapan dengan masalah jika projek itu siap, tetapi ia boleh memberi kesan buruk jika projek terbabit terbengkalai. Apa yang dapat dilihat sekarang ialah keputusan kerajaan memperkenalkan konsep ‘bina dan jual' dalam pembinaan projek perumahan pastinya akan membuka dimensi baru dalam amalan jual beli rumah di negara kita. Keputusan itu bukan sahaja mampu merungkai pelbagai polemik yang melingkari amalan jual beli rumah sedia ada bahkan memenuhi semangat dan prinsip muamalah Islam yang sebenarnya.

 

Antara semangat terpenting amalan jual beli dalam Islam ialah memastikan prinsip keadilan dipertahankan dan didukungi oleh semua pihak sama ada penjual mahupun pembeli. Malah hukum Islam dalam jual beli ini ditetapkan sebegitu rupa bagi mengelakkan pertikaian dan permusuhan yang menjejaskan hubungan manusiawi. Walau bagaimanapun, apabila timbul permasalahan dan pertikaian dalam urusniaga jual beli rumah pastilah mengundang pelbagai persoalan khususnya sama ada amalan sedia ada memenuhi roh dan semangat keadilan yang dipertahankan syarak selama ini.

 

Hakikatnya, konsep bina dan jual bukan sahaja menguntungkan pembeli dan melindungi hak pengguna tetapi sebenarnya telah memberikan kelebihan kepada pemaju kerana mereka boleh menyelesaikan beberapa masalah yang selama ini sering dibangkitkan. Pertama ialah masalah kelulusan lesen memajukan projek yang sering kali dikatakan agak lambat diperoleh selain perlu membayar deposit sekurang-kurangnya RM200,000 terlebih dahulu. Pemaju juga disyaratkan membina sejumlah rumah kos rendah yang juga kadangkala disifatkan hanya akan membebankan pemaju kerana margin keuntungan yang tidak banyak diperoleh daripada projek tersebut. Sedangkan ramai pembeli di kawasan tertentu sebenarnya sudah tidak layak lagi membeli rumah kos rendah sebaliknya perlu kepada rumah yang bertaraf sederhana.

 

Dalam hal ini, pemaju yang memilih konsep bina dan jual berpeluang menikmati pakej insentif termasuk kelonggaran untuk membina rumah kos rendah sebaliknya akan dibenarkan membina rumah kos sederhana. Ini semua akan dijadikan pakej untuk dipilih oleh pemaju, kalau pemaju tidak menggunakan sistem bina dan kemudian jual, maka mereka perlu patuh kepada syarat yang sedia ada iaitu deposit, rumah kos rendah perlu dibuat secukupnya dan masa menunggu untuk mendapatkan lesen adalah seperti biasa. Ingin disebutkan di sini bahawa kemelut jual beli rumah sebenarnya berkait rapat dengan kelemahan amalan sedia ada yang memerlukan pembeli membayar harga rumah yang belum siap. Kekangan sistem jual beli selama ini membuka ruang manipulasi dan eksploitasi terutamanya apabila wujud segelintir pemaju yang mengambil kesempatan di atas kejahilan pembeli untuk melakukan penyelewengan dan penindasan.

 

Kes-kes penipuan sehingga menuntun kepada insiden projek perumahan terbengkalai selalunya bermula setelah wang pendahuluan dibayar kepada pemaju. Tidak cukup dengan bayaran pendahuluan, pembeli juga dikehendaki melunaskan pelbagai bentuk pembayaran lain sedangkan rumah yang dijanjikan belum wujud di hadapan mata. Masalah tidak terhenti di situ sahaja, sudahlah ditipu pemaju, pembeli terpaksa pula menanggung beban bayaran pinjaman bank yang telah dibuat. Semua ini berlaku lantaran amalan jual beli rumah yang bertentangan dengan prinsip keadilan Islam yang seharusnya mempertahankan hak dan tanggungjawab seimbang di antara pembeli dan penjual. Ada beberapa faktor yang boleh dihujah bagi menjustifikasikan pandangan ini bahawa amalan jual beli rumah sedia ada tidak memenuhi prinsip muamalat Islam.

 

Pertama, antara prasyarat yang perlu dipenuhi dalam urusan jual beli mengikut perspektif Islam ialah benda atau objek yang diakadkan mestilah wujud dan boleh berpindah milik pada masa perjanjian. Ini bagi mengelakkan pertikaian yang mungkin tercetus lantaran ketidakpastian mengenai kesempurnaan barang yang diurusniagakan. Ini sejajar dengan saranan Rasulullah s.a.w: ‘Tidak dibolehkan berjual beli sesuatu benda yang tidak wujud di sisi kamu.’ (Hadis riwayat Abu Dawud, at-Tirmizi dan an-Nasai).

 

Kedua, konsep jual beli rumah yang diamalkan hari ini juga terdedah kepada pelbagai elemen yang diistilahkan syarak sebagai hilah atau penipuan, gharar atau jahalah (ketidakpastian atau ketidaktentuan) yang sememangnya boleh menjejaskan kesahihan transaksi sekali gus mencetuskan perbalahan yang membinasakan. Amalan membeli rumah yang belum siap pastilah mendedahkan pembeli kepada pelbagai risiko penipuan dan keraguan sama ada dari segi kualiti bahan binaan yang digunakan, saiz dan bentuk rumah mahupun dari segi jangkamasa rumah itu boleh disiapkan. Kos pembinaan rumah yang sebenar juga tidak didedahkan sehingga sering kali pemaju mengambil kesempatan meraih keuntungan di atas kejahilan pembeli.

 

Ketiga, wujud elemen penindasan dan penganiayaan terhadap pembeli dalam amalan jual beli yang digunapakai sebelum konsep bina dan jual diperkenalkan ini. Pembeli sering kali terpaksa menanggung bebanan kewangan untuk melunaskan pinjaman bank terhadap rumah yang belum siap, pada masa yang sama membayar sewa rumah yang terpaksa diduduki buat sementara waktu. Lebih mengecewakan lagi apabila pembeli terpaksa pula menanggung kos pengubahsuaian dan pembaikan kecacatan disebabkan rumah yang tidak sempurna pembinaannya atau tidak memenuhi spesifikasi sebagaimana yang telah dipersetujui.

 

Keadaan menjadi lebih parah terutamanya apabila sering berlaku kes-kes projek perumahan terbengkalai di mana pemaju lari ataupun diisytiharkan muflis. Ini amat menindas dan menambah beban pembeli untuk melangsai segala bentuk pinjaman bank yang dibuat terhadap rumah yang hakikatnya belum tentu mampu disiapkan sama sekali. Amalan ini jelaslah bertentangan dengan prinsip muamalah Islam yang memberikan hak dan pilihan kepada pembeli untuk membatalkan perjanjian sekiranya rumah yang dibeli tidak memenuhi spesifikasi yang dipersetujui ataupun wujudnya kecacatan terhadap mana-mana bahagian rumah tersebut. Inilah sebahagian daripada keserabutan dalam amalan jual beli rumah selama ini yang begitu terdedah kepada pelbagai bentuk manipulasi dan tidak memenuhi citra keadilan Islam sejati.

 

Walau bagaimanapun, dalam konsep bina dan jual yang telah diperkenalkan ini, kerajaan didapati telah mengambil pendekatan secara holistik dengan membenarkan konsep konvensional terus diamalkan dan bukannya dimansuhkan terus. Ini adalah kerana, masyarakat juga perlu melihat kepada keperluan pemaju-pemaju yang mempunyai modal terhad terutamanya golongan bumiputera. Meskipun bermodal kecil tetapi tidak semestinya projek yang mereka majukan bermasalah. Sebaliknya ada ketikanya juga kita lihat ada di antara projek terbengkalai adalah membabitkan pemaju-pemaju besar dan ternama. Bagi pembeli pula, mereka mungkin mahu kerajaan mewajibkan sahaja konsep bina dan jual ini dikuatkuasakan kerana dari segi Islam sendiri pun ia lebih baik kerana tidak timbul lagi soal unsur gharar iaitu membeli sesuatu yang belum ada secara nyata. Namun dari sudut pandangan lain, kerajaan perlu juga mengambil kira keperluan golongan berpendapatan rendah bagi mendapatkan rumah kos rendah.

 

Mewajibkan atau menguatkuasakan konsep bina dan jual mungkin menyebabkan pemaju merasakan mereka tidak perlu dibebankan lagi dengan tanggungjawab untuk menyediakan rumah kos rendah. Sedangkan rumah kos rendah amat diperlukan bagi mengatasi masalah setinggan yang banyak dihadapi terutama membabitkan negeri-negeri yang menjadi tumpuan golongan penghijrah seperti Selangor.

 

Boleh dikatakan semua pembeli atau rakyat yang memerlukan rumah mahu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberikan perhatian yang serius tentang soal kelulusan pemberian lesen projek. Ia tidak boleh sewenang-wenangnya diberikan kepada pemaju yang sebelum ini terbabit dengan projek sakit atau mengalami masalah kewangan yang serius. Masyarakat boleh menilai bahawa sistem pembelian rumah di negara ini adalah antara yang terbaik dan kerajaan sentiasa mengambil kira tentang kepentingan para pembeli.

 

Masalah akan terus berlaku sekiranya pihak berwajib silap memberikan lesen kepada mereka yang tidak bertanggungjawab, terutama kepada pemaju yang sering melarikan diri dan kemudian tubuh syarikat lain. Mereka boleh terus mengaut keuntungan tetapi yang menderita dan sengsara adalah pembeli. Penyelesaiannya ialah pihak berwajib perlu memperketatkan syarat pemberian lesen atau pilih saja konsep bina dan jual.

 

Hakikatnya, tidak dapat dinafikan bahawa harga rumah naik setiap tahun tetapi ia bergantung kepada lokasi. Di sesetengah lokasi, tidak mustahil harga di kawasan itu naik sehingga 100% terutama kawasan tersebut kawasan elit. Kenaikan harga itu bukanlah disebabkan oleh konsep bina dan jual yang diperkenalkan kerajaan. Ia hanya cara pihak tertentu yang cuba menakutkan pembeli dan kerajaan supaya kerajaan tidak melaksanakan konsep tersebut. Ada segelintir pemaju tidak mahu melaksanakan konsep bina dan jual kerana ingin meneruskan konsep yang dilaksanakan sekarang ini.

 

Ada pihak yang mendakwa bahawa menerusi konsep bina dan jual ini, harga rumah akan meningkat sehingga 100%. Sebenarnya, harga rumah tidak akan meningkat sehingga 100%. Harga rumah hanya akan naik 5%-7% sahaja, bukan 50%-100%. Jika harga rumah naik sehingga 100% bukan disebabkan konsep baru ini, sebaliknya kerana lokasi. Hakikat ini wajar difahami dengan jelas. Tidak kurang juga ada pihak-pihak yang telah berusaha menggagalkan konsep bina dan jual ini. Mereka tidak bersetuju kerana ingin mengelakkan pemaju menghadapi risiko. Risiko yang wujud dalam konsep jual dan bina ditanggung oleh pembeli, manakala pemaju hanya sedikit menerima kesan. Ia disebabkan mereka boleh menggunakan wang pembeli untuk membina rumah bukan menggunakan inisiatif sendiri seperti meminjam bank.

 

Apa yang jelasnya ialah kerajaan tidak mahu sistem menggunakan wang pembeli untuk mendirikan rumah, sebab itu segelintir pemaju menentang konsep bina dan jual ini daripada dilaksanakan. Mereka menggunakan taktik menakutkan kerajaan dengan mengatakan bahawa harga rumah akan naik jika melaksanakan konsep baru ini. Mereka juga mendakwa bahawa pembinaan rumah berkurangan kerana pemaju enggan menanggung risiko tinggi. Selain itu mereka juga mendakwa bahawa industri besi, simen dan pasir akan terjejas jika meneruskan konsep baru ini.

 

Sebenarnya konsep yang diamalkan sekarang memberi banyak manfaat kepada pemaju. Disebabkan itulah, segelintir pemaju tadi tidak mahukan konsep bina dan jual ini dan cuba sedaya upaya menghalangnya supaya kerajaan tidak melaksanakannya. Mereka terus mengelirukan konsep 10:90 atau konsep bina dan jual. Mereka juga menggunakan isu pemaju bumiputera terpaksa gulung tikar jika kerajaan meneruskan konsep baru ini. Sebenarnya ia tidak membabitkan sama ada pemaju kecil atau besar, bumiputera atau tidak, yang penting adalah projek. Yang jelasnya ialah bank sentiasa membantu jika ia memang memberi pulangan, pemaju cuma perlu menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan projek mereka.

 

Berhubung dengan nasib pemaju kecil jika konsep bina dan jual ini diperkenalkan, sebenarnya tiada bezanya sama ada pemaju besar atau kecil. Jika mereka pemaju kecil, mereka perlu membuat projek yang kecil. Ia kurang risiko. Paling berisiko ialah syarikat besar yang melaksanakan projek besar. Projek kecil sebenarnya lebih selamat dan kebanyakan projek terbengkalai ialah projek besar. Konsep 10:90 atau konsep bina dan jual ini juga dikatakan memberi keuntungan lebih kepada pihak bank. Sebenarnya, keuntungan diperoleh daripada pemaju hanyalah untuk jangka masa pendek dan sedikit sahaja. Yang menguntungkan ialah daripada pembeli kerana tempoh pembayarannya ada yang lebih daripada 25 tahun.

 

Kita perlu sedar, rumah dalam pembinaan tidak mempunyai nilai. Rumah yang belum siap tiada siapa yang hendak beli? Menerusi konsep bina dan jual ini, kita dapat mengasingkan pinjaman perumahan antara pemaju dan pembeli. Ia merendahkan risiko kepada pembeli kerana sekiranya projek itu gagal, bank boleh mengarahkan pemaju lain, menyiapkan projek tersebut. Ini boleh menyebabkan projek terbengkalai kurang dan jika terbengkalai juga, kerja pemulihan lebih mudah dilakukan. Ada juga pihak yang mengatakan bahawa menerusi konsep bina dan jual ini pihak bank menerima lebih manfaat, iaitu faedah pinjaman yang diperoleh daripada pemaju dan pembeli. Ia sebenarnya bergantung kepada berapa banyak pembeli membuat pinjaman. Dengan cara ini, bank boleh bekerjasama dengan pemaju untuk memberi insentif kepada pembeli. Mungkin pihak bank boleh memberi diskaun, ia lebih banyak memberi faedah.

 

Walaupun konsep bina dan jual ini telah diperkenalkan beberapa tahun lalu, tetapi sehingga sekarang kurang mendapat sambutan. Ini adalah disebabkan oleh kerana ramai warga yang tidak faham konsep ini dan ada pula pihak yang berkepentingan cuba mengelirukan orang ramai kerana tidak mahu ia dilaksanakan. Sebenanya konsep yang diamalkan sekarang banyak memberi masalah kepada pembeli. Ia memberi keuntungan lumayan kepada pemaju dan disebabkan mereka sudah selesa dengan keadaan tersebut, mereka tidak mahu berubah walaupun ia menindas pembeli.

 

Kerajaan juga perlu menyediakan pelbagai insentif kepada pemaju bagi memastikan mereka melaksanakan konsep bina dan jual ini. Contohnya, memberi kelulusan yang cepat tanpa melalui kerenah birokrasi melampau. Kerajaan Pusat juga boleh memujuk Kerajaan Negeri supaya meluluskan dengan cepat untuk membantu melaksanakan konsep ini selain memikirkan bagaimana saluran yang cepat itu betul-betul cepat bukan perlu melalui prosedur panjang sekali gus mengambil masa bertahun-tahun. Antara insentif lain yang boleh ditawarkan kepada pemaju jika memilih konsep bina dan jual ini ialah mereka mungkin boleh dikecualikan daripada membina rumah kos rendah. Ia mungkin insentif yang baik.

 

Yang jelasnya, industri perumahan boleh berkembang jika konsep bina dan jual dilaksanakan. Ini adalah kerana sistem yang diamalkan sekarang ini banyak menyusahkan pembeli dan disebabkan itulah rakyat asing sangat kecewa dengan cara pembelian rumah di negara kita kerana kepentingan pembeli tidak dilindungi. Bagaimanapun, menerusi konsep bina dan jual ini, kepentingan pembeli dilindungi. Mereka yang hendak membeli rumah termasuk rakyat asing lebih yakin. Industri ini pasti akan bertambah rancak kerana keyakinan yang wujud di kalangan pembeli, bukan seperti dakwaan sesetengah pihak tertentu yang mengatakan bahawa industri pembinaan akan lumpuh. Kerajaan juga perlu memastikan pemaju meletakkan harga rumah dengan kompetitif dan bersesuaian supaya tidak menindas mana-mana golongan. Adalah wajar pihak bank dan pemaju serta kerajaan bekerjasama dalam masalah ini supaya pembeli tidak terus ditindas.

 

Kesimpulannya, keputusan kerajaan memperkenalkan konsep ‘bina dan jual’ dalam pembinaan projek perumahan di negara kita adalah satu langkah yang amat baik. Ini mencerminkan keprihatinan kerajaan yang sentiasa berusaha memelihara kepentingan rakyat sekali gus menangani segala kepincangan dalam sistem muamalat di negara ini agar sentiasa memenuhi tuntutan dan syiar Islam yang hakiki. Sesungguhnya konsep bina dan jual ini menguntungkan semua pihak sama ada pembeli atau pemaju perumahan. Tidak ada pihak yang tertindas jika dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab.

 

Rujukan:

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Sabtu, 26 Februari 2011


PERUMAHAN (PART 1) -BINA JUAL ATAU JUAL BINA?

 Isu di sebalik dua konsep bina rumah


24/05/2004 Utusan Online Oleh Mohammad Yusof Abdullah


Pemilik rumah akan berasa amat bertuah jika peraturan baru konsep `bina dulu, jual kemudian' (bina-jual) menjadi kenyataan, kerana hartanah dalam bentuk bangunan mereka akan melambung harganya.

Tetapi, jika kita teliti semula kenyataan para pemimpin kita yang memberi pandangan dan keputusan mengenai cadangan peraturan ini, ia berpunca daripada masalah pembeli rumah terbengkalai yang hampir setiap hari disiarkan di TV.

Projek perumahan terbengkalai itu kebanyakannya berlaku ketika kegawatan ekonomi dahulu yang mana ramai pembeli sendiri kehilangan pekerjaan dan menarik diri daripada membeli, manakala sesetengah bank tiba-tiba memberhentikan pinjaman yang telah diluluskan untuk pemaju. Oleh itu dengan segala masalah timbul, maka hasilnya rumah terbengkalai.

Kalau di kaca TV, hanya pihak pembeli yang kita lihat rugi. Benarkah pembeli sahaja yang rugi kalau projek terbengkalai? Bagaimana dengan pemaju dan tuan tanah? Berapa juta wang telah dikeluarkan untuk membeli tanah dan membayar premium kepada kerajaan negeri sebelum memungut wang daripada pembeli.

Sebagai contoh yang penulis ketahui, di Setapak, sebuah projek seluas kira-kira tujuh ekar, lulus untuk membina 800 unit rumah kos sederhana, diperlukan membayar caj pembangunan sebanyak RM3.7 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Jika dikira kos tanah sebanyak RM12 juta, maka pemaju perlu keluarkan wang kira-kira RM16 juta sebelum membuat jualan.

Sekiranya sebanyak itu wang sudah dikeluarkan, hanya `orang gila' yang hendakkan projeknya terbengkalai.

Sebenarnya, soal kaedah konsep `jual dahulu, bina kemudian' (jual-bina) tidak timbul kerana pemaju membina dahulu berperingkat-peringkat dan kemudiannya dibayar mengikut sijil kelulusan arkitek dengan mengambil wang yang ada di dalam akaun Lembaga Pembangunan Perumahan (HDA).

Penulis adalah seorang pemaju kecil perumahan selepas berhenti kerja dengan sebuah syarikat pemaju yang amat aktif di Selangor dan Kuala Lumpur.

Penulis ingin membawa renungan isu ini supaya, sebelum kita menukar kepada konsep jual-bina kepada `bina-jual,' elok kita buangkan kemarahan apabila melihat rumah yang sudah siap, tetapi tidak sempurna buatannya.

Kita boleh lihat kajian kes ini yang melibatkan sistem jual-bina dan bina-jual kepada pembeli, pemaju, bank, kerajaan/kerajaan tempatan dan jabatan-jabatan teknikal berkaitan serta ekonomi negara.

Misalnya, sebuah pemaju membeli sebidang tanah di Cheras dan telah diluluskan oleh kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membina 100 unit rumah teres dua tingkat. Harga jualan rumah ialah RM150,000 sebuah.

Rumah murah tidak dibina kerana buat masa ini, rumah murah dalam negeri telah jauh melebihi bilangan setinggan.

Konsep Jual-Bina


1. Pembeli

Mengikut konsep jual-bina, pembeli akan menandatangani perjanjian jual beli, biasanya akan membayar 10 peratus (RM15,000) dengan pelbagai cara yang ditawarkan oleh pemaju. Kemudian memohon pinjaman perumahan. Pembeli akan menunggu 24 bulan untuk rumah siap dan akan membayar faedah semasa kemajuan pembinaan. Sistem jual-bina kita di Malaysia ini amat kehadapan sehinggakan ada bank yang hanya mengenakan kadar faedah kurang dua peratus semasa pembinaan. Ini kerana telah biasa dan percaya dengan projek berkenaan.

2. Pemaju

Setelah mendapat segala kelulusan, pemaju akan meminjam sebanyak RM2 juta untuk pinjaman jejambat untuk memulakan projek ini. Dalam sistem sedia ada, sekurang-kurangnya 60 peratus rumah telah dijualkan dengan perjanjian jual beli ditandatangani dan disahkan oleh peguam terlibat, barulah wang ini dapat digunakan. Itu pun dengan sijil kerja siap yang disahkan oleh arkitek projek.

Untuk projek bersaiz sebegini, kira-kira RM9 juta hingga RM11 juta diperlukan untuk kerja-kerja bangunan dan infrastruktur bagi menyiapkan keseluruhan projek. Ini bermakna, 33 industri berkaitan pembinaan akan mendapat perniagaan baru (RM10 juta) dalam pasaran.

3. Bank

Pihak bank mendapat perniagaan baru sebanyak RM2 juta dari pemaju dan RM15 juta dari pembeli-pembeli, jumlahnya RM17 juta.

4. Kerajaan/PBT dan jabatan-jabatan lain

Kerajaan negeri mendapat pendapatan awal dengan mengenakan premium (kira-kira 25 peratus daripada harga pasaran tanah). PBT dengan segala caj dan sumbangan turut memperoleh pendapatan awal, begitu juga JPS, Lembaga Juruukur Malaysia dan Perbadanan Urusan Air Selangor (PUAS). Konsultan yang lain seperti arkitek, jurutera-jurutera juga mesti dibayar yuran mereka.

5. Ekonomi Malaysia

Kita berbangga dapat menyumbang bersama-sama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Punca utama projek lambat atau terbengkalai ialah aliran tunai projek. Dalam sistem jual-bina, kalau pemaju tidak mendapat pembeli lebih daripada setengah jumlah rumah, walau mengikut fasa sekali pun, adalah lebih baik dipulangkan wang para pembeli.

Konsep Bina-Jual


1. Pembeli

Pembeli akan membeli rumah tersebut dan dapat melihat hasil akhir. Harganya mengikut pasaran. Sekiranya ramai yang hendak membeli, maka harganya akan melambung. Tetapi, pembeli akan puas hati walaupun membayar dengan harga yang lebih.

Adalah lumrah buat masa ini, sekiranya membeli rumah jual-bina yang telah siap harganya akan lebih mahal dari harga pada permulaan projek. Ini bermakna, sistem bina-jual ini memang ada dibuat serentak dengan jual-bina.

Penulis ada membeli seunit apartmen di Seksyen 13 Shah Alam pada tahun 1988 dengan harga RM85,888. Selepas melihat pembinaan naik ke tingkat satu, rakan penulis pergi bertanya untuk membeli dan pemaju tersebut mengatakan telah habis dijual.

Tetapi, setahun kemudian, selepas sijil layak menduduki (CF) dikeluarkan, pemaju tersebut telah menjual dengan harga RM135,000 seunit.

2. Pemaju

Pinjaman jejambat RM2 juta tidak cukup, maka pihak pemaju akan meminjam lebih. Yang paling senang jika dapat meminjam keseluruhan kos projek kira-kira RM10 juta. Sekiranya wang ini tersedia, lebih cepat projek boleh disiapkan. Cuma, faedah bank adalah ke atas RM10 juta. Ia boleh menjadi RM12 juta dalam masa dua tahun.

Masalah yang paling kritikal bagi pemaju bukan lagi pungutan wang daripada pembeli semasa pembinaan.

3. Bank

Bank mendapat perniagaan baru sebanyak RM10 juta melalui pinjaman pembinaan dan RM15 juta, jumlahnya RM25 juta. Tetapi, dengan RM10 juta pinjaman pembinaan ini, jika digunakan mengikut sistem sedia ada jual-bina, bank akan dapat menjana empat projek lain yang bersaiz sama, iaitu RM10 juta pinjaman pembinaan dan 5 x RM15 juta, jumlah keseluruhan RM85 juta perniagaan baru.

Perlu juga diingatkan, melalui sistem sedia ada, dengan RM10 juta ini, bank boleh menjana ekonomi untuk 33 industri terlibat dengan pembinaan sebanyak RM50 juta, tetapi sistem bina-jual hanya RM10 juta sahaja.

4. Kerajaan/PBT

KPKT tidak perlu memantau projek. Rumah sudah siap, tidak ada masalah akan timbul.

5. Ekonomi Malaysia

Penulis berada di kota London pada 1989. Banyak rumah dan bangunan siap kosong kerana kegawatan. Ada lagi yang masih kosong hingga ke hari ini.

Cuba kita renungkan bersama, mana lebih parah kepada ekonomi Malaysia sekiranya berlaku kegawatan ekonomi, projek perumahan terbengkalai atau projek perumahan siap tetapi tidak laku?

Perlu juga kita ingat, konsep jual-bina, amat kurang dapat dispekulasikan oleh pemaju. Pembeli yang untung sekiranya membeli terlebih dahulu sebelum rumah itu siap. Jika rumah disiapkan dahulu kemudian baru boleh dijual, kita akan melihat pemaju-pemaju seperti di Taiwan akan timbul dengan banyaknya.

Sekiranya kerajaan membuat dasar bina-jual, banyak pemaju akan mencari modal dari luar negara. Penulis tidak nampak bank akan memberi RM10 juta pinjaman untuk membuat contoh projek di Cheras. Di mana hendak mencari sandaran sebanyak RM10 juta?

Salahkah kita menggunakan acuan sistem jual-bina ini, dengan kepincangan sama-sama kita baiki dari semasa ke semasa. Melalui konsep ini, kita dapat membina lebih banyak rumah dan pembeli tidak khuatir dan terdedah dengan spekulasi ganas.

Mohammad Yusof Abdullah ialah seorang pemaju perumahan

BURUH KANAK-KANAK

 

BURUH KANAK-KANAK


 

PUNCA BURUH KANAK-KANAK DAN IMPLIKASINYA KEPADA NEGARA


PUNCA-PUNCA

Kemiskinan

  1. Keluarga yang miskin memerlukan usaha daripada setiap ahli keluarga untuk mencari rezeki bagi menampung koskehidupan yang semakin hari semakin meningkat.
  2. Kanak-kanak berhenti sekolah dan dipaksa bekerja. 
  3. Keadaan daif ini terlalu mendesak berbanding dengan keperluan mendapat pendidikan.

Manfaat buruh kanak kanak

  1. Majikan memang memilih untuk mengupah kanak-kanak terutama sekali dalam kerja yang tidak begitu berat dan tidak memerlukan tenaga seperti orang dewasa. 
  2. Kos murah dan mereka juga tidak terikat dengan undang-undang buruh seperti tidak perlu mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Permintaan tinggi

  1. Permintaan untuk mendapatkan buruh kanak-kanak bertambah menyebabkan pertambahan bilangannya

Kelemahan penguatkuasaan undang-undang

  1. Majikan berani melanggar undang-undang.
  2. Budaya rasuah yang berlaku dalam kalangan pegawai penguat kuasa. 
  3. Kanak-kanak menjadi mangsa sistem perundangan yang sepatutnya melindungi mereka.


IMPLIKASI

Kesan psikologi terhadap kanak-kanak 

  1. Mereka mula membuat perbandingan dan pemerhatian situasi di sekeliling mereka.
  2. Zaman kanak-kanak sepatutnya menjadi zaman untuk mereka mempelajari selok-belok kehidupan. 
  3. Perasaan tertekan akibat kegagalan menikmati zaman kanak-kanak dan beban kerja akan membawa kesan psikologi.

Kegagalan dalam sistem pendidikan

  1. Harus bekerja selepas waktu persekolahan. 
  2. Mengganggu proses pembelajaran mereka. 
  3. Berhenti terus dan mereka menjadi golongan buta huruf. 
  4. Masa hadapan golongan muda ini tergadai

Pembangunan terbantut

  1. Ramai kanak-kanak tidak dapat pendidikan yang sepatutnya. 
  2. Hasilnya tidak ramai tenaga profesional dan akademik dilahirkan dalam dekad-dekad mendatang. 
  3. Ia akan menyebabkan pembangunan negara terjejas.

 

BELIA (PART 1)

 

 

PENGHIJRAHAN BELIA KE KOTA


Latar Belakang

 

Penghijrahan belia ke kota, terutama ke bandar-bandar besar telah bermula sejak dahulu lagi. Penghijrahan didorong oleh faktor ekonomi dan sosial. Melibatkan faktor-faktor tarikan di bandar dan tolakan di luar bandar. Menimbulkan implikasi negatif kepada kawasan kota yang dituju atau desa yang ditinggalkan. Tidak menjamin kemewahan kerana perpindahan ke kota sebenarnya memindahkan kemiskinan desa ke kawasan kota. Belia boleh membangunkan desa dan memperolehi jaminan hidup yang lebih baik jika mereka sanggup berusaha dengan gigih.

 

Kesan-kesan Negatif

 

Menambah masalah pengangguran sedia ada. Gagal mencapai matlamat berhijrah ke bandar. Masalah kemiskinan dan kesesakan bertambah. Penghijrah terbabit dalam pelbagai kegiatan sosial yang kurang sihat/merugikan. Desakan hidup - mudah terjebak dalam kancah maksiat/dadah/jenayah. Menambah masalah penempatan di bandar dan menggalakkan pertumbuhan petempatan setinggan Mewujudkan kawasan tepu, padat, dan sesak yang mencemarkan imej kota di negara ini. Persekitaran yang tidak selesa/kurang sihat. Kerajaan terpaksa menanggung beban. Menjejaskan imej negara/pelancongan. Kawasan desa semakin terbiar - kurang tenaga muda untuk mengusahakan pertanian. Kawasan tanah terbiar semakin berleluasa. Pembangunan desa tidak dapat dilakukan tanpa golongan muda. Sumber ekonomi/potensi desa menjadi semakin berkurangan/ gagal menampung keperluan industri berasaskan pertanian. Belia yang berhijrah ke kota hanya berjaya mengisi pekerjaan yang rendah tarafnya/tidak mampu menampung kos hidup yang tinggi.

Tanpa sumber pendapatan yang kukuh dan kekal, gejala sosial berleluasa di bandar. Terbabit dalam kegiatan sosial negatif. Jenayah juvana/jenayah besar berleluasa. Beban kerajaan berat untuk membanteras jenayah dan menyediakan kemudahan asas. Petempatan setinggan wujud - mencemarkan imej kota/menjejaskan industri pelancongan. Merugikan kawasan desa yang ditinggalkan kerana tiada tenaga kerja muda untuk membangunkan desa. Sektor ekonomi primer desa atau sektor separa¬ sekunder tidak mungkin dimajukan. Sumber ekonomi dan potensinya terbiar atau dibazirkan - di kawasan berhampiran bandar besar dan bandar perindustrian.

 

Faktor-faktor Mempengaruhi

 

Suasana yang membosankan kerana kurangnya hiburan di kampung. Inginkan kebebasan dan tidak mahu dikongkong oleh sistem adat dan peraturan keluarga yang ketat di desa. Golongan remaja menganggap kota sebagai salah satu destinasi yang harus dituju kerana menjamin masa depan yang lebih baik.

Kota menjanjikan peluang pekerjaan dan pasaran ekonomi yang lebih kukuh dan stabil. Pengaruh rakan sebaya dan media massa. Ingin menghambat kemajuan dan keharmonian di bandar. Perpindahan warga desa ke kota dengan sifatnya yang kekampungan tidak berupaya mengiringi arus kemajuan dan corak hidup bandar.

 

Langkah-Langkah Mengatasi

 

Melaksanakan kempen-kempen kesedaran di kalangan belia agar bersikap lebih positif terhadap potensi diri dan masa hadapan. Peranan media massa memaparkan kebaikan dan keburukan. Menganjurkan kursus-kursus kerjaya yang dapat membangunkan desa. Mempelbagaikan aktiviti desa yang memberikan sumbangan yang lumayan kepada pengusaha.

Menyedarkan belia agar menimbangkan sama ada bekalan yang ada pada mereka cukup untuk menjalani kehidupan di kota atau sebaliknya. Belia memanfaatkan tenaga dan fikiran mereka untuk merealisasikan pembangunan dan reformasi yang dianjurkan oleh kerajaan. Menyarankan agar belia memikirkan semula sama ada tindakan mereka berhijrah ke kota, itu sesuatu yang menguntungkan diri, masyarakat, dan negara atau sebaliknya.

20 April, 2022

BUDAYA MEMBACA (PART 2)

 


MEMUPUK BUDAYA MEMBACA KE ARAH KECEMERLANGAN NEGARA

 

Anas Alam Faizli

Oktober 24, 2016 08:37 MYT

Dipetik dari https://www.astroawani.com/gaya-hidup/memupuk-budaya-membaca-ke-arah-kecemerlangan-negara-120293

 

Memupuk budaya membaca ke arah kecemerlangan negara

 

PADA tanggal 6 April 1933, Jerman telah menyaksikan segolongan mahasiswa di bawah rejim Nazi melancarkan “Biblioclasm” bagi menghapuskan buku-buku yang kononnya disifatkan “anti-Jerman”.

Kira-kira 2000 tahun yang lalu, pihak pemerintah China telah membakar buku-buku yang dianggap berbau Confuscian kerana tidak berpuas hati dengan pengaruh ajarannya yang semakin menular.

Ketika penaklukan kota Baghdad pula, Perpustakaan Agung Baitul Hikmah yang kaya dengan khazanah ilmu pengetahuan dimusnahkan oleh tentera Mongol.

Diriwayatkan Sungai Tigris bertukar warna menjadi hitam akibat banyaknya buku-buku yang dibuang.

Tesis umum yang dapat disimpulkan daripada peristiwa-peristiwa di atas ialah buku mempunyai peranan yang penting dalam mencipta dan seterusnya merangsang perkembangan ilmiah dan seterusnya tamadun manusia.

Buku berupaya membenihkan ilham pemikiran kritis daripada segi politik, falsafah serta sosio-ekonomi dalam kalangan  kelompok manusia.

Lantas, pembakaran buku menjadi salah satu instrumen utama menguburkan pengaruh sesebuah idealisme, corak pemikiran, ideologi, ataupun budaya oleh rejim yang berkuasa.

Buku sangat berkuasa dan berpengaruh sehinggakan Napoleon Bonaparte pernah berkata, “Aku lebih takut dengan empat orang penulis daripada 1,000 senapang.”

Kalimah Al-Quran yang pertama menekankan kepentingan membaca, “Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan” (Al-Alaq, 96:3-4).

Membaca juga tidak dapat dinafikan ialah titik permulaan penelaahan dan jelajah ilmu para cendekiawan dan filasuf dunia barat mahupun timur, klasik mahupun moden.

Hal ini jelas sekali mengangkat martabat buku di tempat yang tinggi dalam sejarah tamadun manusia. Peri pentingnya nilai penulisan melalui buku dan peradaban yang dicetuskan olehnya menobatkan buku sebagai antara penciptaan paling agung dalam sejarah tamadun manusia.

Kita diingatkan dengan mutiara kata “Setitik dakwat mampu membuat sejuta manusia berfikir tentangnya.”

 

Sejarah, Penulisan, dan Budaya Ilmiah Malaysia


Wacana kepentingan buku dalam mencorak hala tuju intelektual dan identiti sesebuah masyarakat tentu sekali berkait rapat dengan usaha merekod khazanah sejarah dan karya para sarjana tempatan.

Malang sekali, periwayatan sejarah Melayu bermula dari zaman ketibaan Parameswara ke persisiran Melaka, sehinggalah dasar-dasar pentadbiran ekonomi berasaskan perdagangan Melaka, strategi pertempuran Tun Perak dan kesahihan hikayat Hang Tuah, begitu daif dan corot.

Jika dibandingkan dengan tamadun-tamadun dunia yang lain, kualiti dan kesemestaan perekodan sejarah Melayu jauh tercicir.

Kesinambungan warisan ilmu dan budaya ilmiah para cendekiawan, ahli akademik dan pemikir asing mahupun tanah air juga rontok.

Jarang sekali kerja-kerja pemikir intelektual dan para filasuf diketengahkan dalam sistem pendidikan dan diskusi arus perdana seharian.

Ujian litmusnya mudah sekali, tanyakan sahaja orang awam kini sekiranya mereka mengenali personaliti ilmuan dan juga nama-nama pencipta sejarah mahupun fakta dan pengetahuan umum. Jangan terkejut jika yang dikenali hanyalah artis-artis dan ahli perniagaan semata-mata.

Kaji selidik oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 1996 dan 2005 menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun secara purata.

Rakyat Jepun dan Perancis membaca 10 buku, manakala Rakyat Amerika dan Kanada paling hadapan dengan 17 buku.

Kurangnya tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia sememangnya membimbangkan. Golongan belia dan dewasa kini lebih menjerumus ke arah hedonisme dan hiburan berasaskan digital. Mereka tidak lagi menemukan keseronokan dalam membaca sebagai hobi di waktu lapang, jauh pula sebagai sumber hiburan.

Akibatnya, hujah dan perbualan harian semakin tegar dinodai pandangan peribadi yang kurang berasas dengan kesahihan yang berpaksikan maklumat picisan daripada Facebook dan Twitter.

 

Membaca Buku Mempertingkat Pendidikan dan Kualiti Hidup

 

Pendidikan merupakan prasyarat peningkatan status sosio-ekonomi individu dan isi rumahnya, lantas mutu kehidupannya.

Kajian Jeanne Chall membongkar bahawa terdapat satu hubungan rapat dan eksklusif di antara pendidikan dan membaca. Maksudnya seseorang yang berpendidikan tinggi akan mudah untuk lebih membaca dan seseorang yang banyak membaca akan mudah ke arah berpendidikan tinggi.

Jelas bahawa membaca memangkin dan memperkukuh pendidikan seseorang dan sebaliknya.

Kajian empirikal juga telah membuktikan bahawa kualiti hidup berkadar secara langsung dengan bilangan buku yang dibaca.

Secara purata golongan yang membaca sebuah buku seminggu atau 50 buku setahun didapati mempunyai taraf kualiti kehidupan yang tinggi.

Sebaliknya, golongan yang hanya membaca majalah atau surat khabar dan kurang membaca secara amnya dilaporkan mempunyai kualiti kehidupan yang rendah.

Membaca ialah kaedah terpantas untuk memperolehi ilmu dan mendapatkan fakta. Secara langsung, membaca juga memperkukuh perbendaharaan kata dan penguasaan linguistik pembaca.

Perolehan ilmu ini seterusnya dapat melatih kefasihan berbicara, serta menambah fakta-fakta yang baru dan memperlengkap fakta sedia ada.

Pemikiran pembaca seterusnya dapat mempertajam kesedaran sivik, sosial, ekonomi, politik, sejarah dan isu-isu berbangkit masa kini.

Membaca turut menawarkan kaedah senaman minda yang berkesan. Sebagai aktiviti yang lebih kompleks daripada menonton televisyen; membaca bukan sahaja memperkuat rangkaian dalam otak manusia, malah berupaya merangsang pembinaan rangkaian saraf yang baru.

Hasilnya ialah penambahbaikan konsentrasi minda dalam kalangan kanak-kanak mahupun dewasa, serta dapat mengatasi masalah jangka masa perhatian yang singkat.

Buku juga mampu membawa pembaca ke dimensi berbeza seterusnya melatih daya imaginasi kreatif serta perkembangan emosi EQ pembaca.

Dimensi lain ini membawa pembaca menerokai pengalaman maya yang mungkin tidak dapat dirasai dalam kehidupan sehariannya, serta mencanangkan perspektif alternatif untuk melihat dunia melalui kaca mata yang berbeza.

Tambah nilai utama pengalaman maya ini ialah galakan perkembangan peribadi pembaca. Bukan sahaja daripada sudut intelektual dan IQ semata-mata, membaca juga boleh merangsang aspek psikologi, kognitif dan EQ pembaca.

Dalam menterjemahkan tulisan yang dibaca kepada bentuk-bentuk imaginasi visual dan emosi tanpa batasan, membaca menggalakkan sifat empati dan simpati.

Google dan rakannya tidaklah menawarkan ilmu pengetahuan yang lengkap tetapi cuma maklumat manakala buku menawarkan ilmu pengetahuan yang lebih dari sudut hujah dan pengolahan yang lebih terperinci, bertongkatkan ilmu latar belakang penulis yang lazimnya pakar di dalam disiplin ilmu terbabit.

Bibit-bibit maklumat sahaja tidak mencukupi jika tidak disusunrangka menjadi suatu sistem ilmu yang dapat dimanfaat.

T.S. Eliot merintih, “Di manakah kehilangan ilmu di tengah-tengah maklumat?”

Ilmu pengetahuan yang unggul telah digantikan dengan maklumat-maklumat berbentuk picisan sahaja.

 

Cabaran Membentuk Budaya Malaysia Yang Membaca

 

Desakan keperluan ekonomi isi rumah boleh dikatakan salah satu punca rakyat Malaysia kurang membaca. Peningkatan kos kehidupan negara membangun seperti Malaysia menghimpit kita untuk mengejar kesenangan material dengan mengorbankan masa untuk membaca dan perolehan ilmu pengetahuan.

Buku-buku terbitan arus perdana, lebih-lebih lagi yang diimport, begitu mahal sehingga mencecah ratusan Ringgit Malaysia.

Mustahil bagi 80 peratus isi rumah Malaysia yang memperolehi pendapatan kurang dari RM5,000 sebulan untuk menggembleng sebuah koleksi buku yang komprehensif.

Lebih membimbangkan ialah sifat cintakan ilmu pengetahuan yang semakin menipis. Masyarakat hanyut dibawa arus hedonisme sehinggakan tabiat membaca terbatas kepada buku-buku teks dan nota-nota kuliah untuk tujuan peperiksaan, dan bukannya lahir daripada kecintaan ilmu dan keinginan meneroka perbatasan ilmu yang sedia ada.

Komuniti setempat berperanan penting meringankan beban ini melalui penubuhan kelab-kelab buku dalam kalangan para penduduk sekampung atau setaman perumahan. Sedikit sebanyak, beban kos buku berkualiti yang tinggi dapat dipikul bersama.

Malahan, kelangsungan budaya membaca dan kebertanggungjawaban membaca sebagai ahli kelab buku juga dapat diterapkan.

Langkah-langkah memperkasa koleksi perpustakaan tempatan serta kempen-kempen mengimarahkannya turut berperanan melengkapi usaha menggalakkan budaya membaca dan menyegarkan kecintaan terhadap ilmu.

Menurut Walter Cronkite, “Sebesar mana pun jumlah harga pembinaan perpustakaan-perpustakaan kita, harganya jauh lebih murah berbanding dengan harga sebuah negara yang jahil!”

 

Kempen Membaca Untuk Warga Malaysia

 

Tabiat membaca memerlukan kepada perubahan minda yang peka dan dimulakan dari awal. Justeru, beban menerapkan sifat suka membaca di kalangan anak-anak kecil terletak pada bahu ibu bapa.

Individu-individu ini seterusnya diharapkan dapat menjadi asas kepada sebuah masyarakat Malaysia yang berpengetahuan, terpelajar dan dapat menyinambungkan gunapakai manfaat ilmu dalam perbincangan dan pekerjaan masing-masing.

Perubahan satu generasi ke generasi yang lain akan dapat memastikan kemampanan tabiat membaca dan juga penerusan budaya ilmu dalam kalangan generasi yang berikutnya.

Rebutlah peluang untuk membeli buku dan bahan bacaan pada harga yang murah. Pesta buku Popular dan Big Bad Wolf contohnya menawarkan peluang baik untuk mengumpul keperluan bacaan keluarga anda selama setahun.

Kedai buku terpakai dan perkhidmatan pinjaman buku turut menyediakan alternatif untuk mendapatkan buku dengan murah.

Buku dalam bentuk digital e-Book ataupun format .pdf yang dimuat turun melalui internet juga praktikal bagi yang dilengkapi kemudahan internet.

Tetapkan 10 minit setiap hari untuk membaca! Tekadkan iltizam untuk membaca sebelum bermain Angrybird.

Bawalah buku ke mana jua agar anda dapat menyelitkan sedikit pembacaan di waktu ruangan kosong. Langkah menyenaraikan buku dan tema yang ingin dibaca juga dapat membantu memotivasikan diri untuk sentiasa menghabiskan bacaan anda.

 

Budaya Membaca kearah Kecemerlangan Negara Tanggungjawab Bersama

 

Charles Jung menemui bahawa terdapat ciri-ciri bangsa yang sebenarnya telah dikodkan dan diwarisi melalui DNA. Hal ini menyebabkan setiap bangsa mempunyai ciri-ciri yang unik kepada mereka; maka tabiat suka membaca secara teorinya turut bergantung kepada keturunan dan kod DNA.

Ini boleh diubah dan wajib diubah! Dr Fadzilah Kamsah sering menegaskan semua tabiat dapat diubah sekiranya diulangi dan dirohkan lebih dari 40 kali.

Bukankah kita juga telah dijanjikan di dalam Al-Quran, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (13:11).

Sejarah tamadun negara-negara dunia pertama membuktikan kuasa membaca dan menimba ilmu pengetahuan dalam pembentukan tamadun manusia dan peningkatan kualiti hidup masyarakat.

Malaysia kini menghampiri halangan yang terakhir tetapi paling sukar dalam mengecapi kekayaan dan kemakmuran ekonomi; iaitu dalam membentuk sebuah masyarakat berasaskan pengetahuan yang dianggotai oleh para ilmuwan dan rausyanfikir.

Hasrat murni ini harus diletakkan sebagai tanggungjawab bersama oleh setiap individu.

 

Tabiat membaca mampu dan akan mengubah nasib negara kita.

 

Marilah kita menerapkan budaya minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia, menggalakkan budaya cintakan ilmu, serta mempertingkat status sosio-ekonomi kita demi merealisasikan impian untuk sebuah Malaysia yang lebih baik ke arah kecemerlangan negara.

“Bagaimana sibuk sekalipun, anda mesti mencari masa untuk membaca, jika tidak anda akan kalah dengan jalan kejahilan yang anda pilih sendiri” — Confucius



            *Anas Alam Faizli pemegang ijazah kedoktoran pentadbiran perniagaan. Beliau merupakan ahli profesional industri pembinaan serta minyak dan gas, penulis buku "Rich Malaysia, Poor Malaysians" dan berTwitter di @aafaizli

           

            **Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.



   

BUDAYA ILMU

 

Budaya Ilmu


Ilmu ialah satu perkara asas yang menjadi pokok pembinaan dan tamadun sesebuah bangsa. Pembinaan ilmu yang bersepadu seharusnya menjurus kepada kemampuan manusia membudaya dan memanfaatkan nya. Dengan adanya pembudayaan ilmu akan membawa kepada peningkatan intelektualisme, pemikiran, budaya hidup, dan pembangunan insaniah. Pencarian ilmu sewajarnya dipelbagaikan dan tidak terhad kepada beberapa bidang ilmu sahaja.


Langkah-langkah Mempertingkatkan Budaya Ilmu


  1. Mengubah tanggapan konsep belajar bukan semata-mata mengejar kecemerlangan akademik tetapi kefahaman dan penghayatan kepentingan ilmu yang dipelajari agar dapat dimanfaatkan. Konsep berasaskan peperiksaan dalam sistem pendidikan negara perlu dinilai semula.
  2. Pelajar mesti dibekalkan dengan kukuh kaedah pembelajaran berkesan yang menekankan kemahiran mencatat nota, teknik membaca, mendengar, dan kemahiran penting yang lain.
  3. Kaedah Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) dalam kelas patut ditingkatkan agar lebih kreatif dan dapat menjana daya keintelektualan pelajar. Mencari dan mengkaji kekangan dan masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah agar mendapat formula terbaik dalam mendidik pelajar.
  4. Program-program ilmu mestilah diperbanyak untuk proses percambahan minda melalui diskusi ilmu dan penulisan buku-buku ilmiah. Penggunaan teknologi elektronik kini seperti internet patut dimanfaatkan.
  5. Aktiviti pemugaran ilmu wajar diperluas dengan membaca, memahami, dan menghayati apa-apa bahan bacaan ilmiah seperti majalah, jurnal, buku-buku, dan lain-lain. Majlis-­majlis ilmu juga patut selalu dihadiri dengan berguru, berkumpulan, dan berbincang.
  6. Peranan ibu bapa amat penting bagi memupuk budaya sayang akan ilmu sejak di bangku sekolah. Ibu bapa yang prihatin akan dapat menyumbang sesuatu yang bererti kepada masyarakat.

BUDAYA MEMBACA (PART 1)

 BUDAYA MEMBACA


Pengenalan


Tarikh 23 April merupakan tarikh penting bagi meraikan keagungan ilmu. Tarikh ini telah diisytiharkan sebagai Hari Buku Sedunia. Kadar celik huruf rakyat Malaysia adalah lebih daripada 93 peratus. Negara akan terus unggul dan mampu bersaing dengan negara­-negara lain yang maju jika nilai-nilai keilmuan dan pendidikan diberikan tumpuan utama. Sejarah awal telah membuktikan tamadun-tamadun unggul dunia tercipta kerana masyarakatnya yang berilmu dan cinta akan buku. Kajian yang dibuat oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 1996 menunjukkan purata rakyat Malaysia membaca ialah dua naskhah setahun.


Situasi Budaya Membaca di Malaysia


  1. Sambutan Hari Buku Sedunia tidak mendapat sambutan. Masyarakat tidak langsung maklum tentang signifikan dan kepentingan ilmu. Walau bagaimanapun, masih ada segelintir masyarakat yang bersungguh-sungguh untuk menjadikan tarikh ini sebagai tarikh yang patut diingati.
  2. Kajian yang dibuat pada tahun 1984 menunjukkan purata rakyat negara ini membaca hanya sehelai halaman buku dalam setahun. Keadaan ini menunjukkan rakyat kita tidak minat membaca.
  3. Kajian yang dilakukan oleh ahli akademik tempatan pada tahun 1983 menunjukkan 0.028 peratus atau 28 daripada setiap 100 ribu orang menjadi ahli mana-mana perpustakaan.
  4. Perangkaan pada tahun 2001 menunjukkan peningkatan terhadap bilangan keahlian perpustakaan meningkat kepada 2 610 565 orang.


Punca Budaya Membaca yang Lemah di Kalangan Rakyat Malaysia


  1. Didikan awal di rumah yang lemah. Mengikut kajian, 27 peratus tidak mempunyai buku di rumah, 30 peratus tidak memiliki majalah, dan 10 peratus tidak memiliki surat khabar di rumah. Ibu bapa tidak menekankan kepentingan membaca dan tidak meinberikan dorongan kepada anak-anak supaya minat membaca.
  2. Kedudukan ekonomi keluarga yang tidak kukuh. Kemiskinan dalam kalangan rakyat telah mengehadkan perbelanjaan kepada kepentingan makan dan pakai sahaja. Membeli buku dianggap membazir.
  3. Persaingan daripada teknologi elektronik. Alat-alat elektronik seperti televisyen, radio, video, dan lain-lain memudahkan manusia menjalani kehidupan harian dan mendapat hiburan. Oleh yang demikian, manusia menjadi lalai.
  4. Kesibukan bekerja dan tiada masa untuk membaca. Mereka tiada masa senggang disebabkan terlalu sibuk mengejar kemajuan.
  5. Tiada kesedaran tentang pentingnya ilmu. Membaca merupakan amalan baik dan penting untuk mendapatkan segala bentuk ilmu. Tahap kesedaran yang rendah telah meletakkan amalan membaca di peringkat yang membosankan dan melecehkan.
  6. Pengaruh bahan picisan yang terlebih dahulu membentuk budaya membaca rakyat yang rendah. Bahan picisan digemari kerana kandungannya yang menarik dan menyeronokkan. Kandungan yang hanya untuk hiburan dan gosip-gosip mengakibatkan rakyat tidak gemar membaca bahan-bahan bacaan yang berat.


Kesan Kebanjiran Bahan Picisan


  1. Meningkatkan gejala sosial. Majalah-majalah hiburan dan komik sering memaparkan dan menghidangkan bahan-bahan yang dapat menarik minat golongan muda. Nilai-nilai negatif, ganas, dan lucah akan tersebar dengan cepat.
  2. Permintaan terhadap buku-buku ilmiah akan merosot. Masyarakat mempunyai alternatif lain sebagai bahan bacaan. Buku-buku ilmiah tidak terjual.
  3. Pembangunan negara akan terjejas. Pembangunan negara terutamanya pembangunan manusia akan tergugat kerana negara dilanda masalah sosial yang kronik. Pembangunan ekonomi juga mengalami masalah sumber tenaga yang tidak berkualiti.
  4. Kepercayaan kepada perkara-perkara karut dan tahyul akan berleluasa. Majalah-majalah kisah benar laris jualannya disebabkan oleh kandungannya yang sering menggemparkan. Bahan-bahan picisan ini akan menggugat keimanan dan dapat memesongkan akidah.
  5. Menjejaskan usaha memartabatkan bahasa Melayu. Bahan-bahan bacaan ini seringkali menggunakan bahasa "rojak" yang mengelirukan. Banyak terdapat kesalahan bahasa dan ejaan yang nyata.
  6. Menghalang usaha melahirkan rakyat berilmu. Individu tidak memperoleh ilmu pengetahuan daripada pembacaan bahan bacaan picisan kerana kandungannya yang tidak bersifat ilmiah.



Kesan Negatif Kurang Membaca


  1. Masyarakat dilanda masalah kekeringan idea dan ketandusan daya cipta sehingga tidak mampu untuk berkembang dan memanfaatkan potensinya. Golongan berijazah dan berkelulusan tinggi dengan pelbagai sijil kemahiran tidak mampu memanfaatkan ilmu­ilmu yang diperoleh untuk diperkembang dengan kreatif dan inovatif.
  2. Menyebabkan kelembapan daya fikir dan gagal memahami realiti semasa. Banyak program dijalankan untuk mengatasi masalah tetapi gagal mengubati masalah sebenar yang menjadi punca. Walaupun telah banyak masa, tenaga, dan wang dihabiskan, namun tiada kesan yang dapat dilihat disebabkan tiada penyelidikan dibuat.
  3. Sindrom merelakan diri diperhambakan akan menular dalam kalangan rakyat kerana tiada kekuatan jiwa. Hal ini mengakibatkan manusia meniru dan menciplak segala­-galanya disebabkan ketiadaan ilmu, sahsiah, dan rohani yang mantap.
  4. Kekurangan daya yakin akan diri. Bermaksud sentiasa bergantung pada pendapat dan tindakan orang lain lantaran kurang upaya meyakinkan orang lain terhadap idea yang diutarakan. Perasaan rendah diri sering membataskan pergaulan dan aktiviti lain.
  5. Pembudayaan ilmu tidak akan tercapai. Asas pembinaan budaya ilmu, sahsiah, dan kecemerlangan pendidikan bermula daripada amalan membaca. Sekiranya kurang membaca, ilmu tidak dapat dimanfaatkan seterusnya budaya membaca yang baik juga sukar dicapai.


Industri Buku di Malaysia


1. Tabiat membaca rakyat Malaysia sebenarnya semakin meningkat. Malangnya prestasi ini ada pasang surut kerana permintaan buku berkait rapat dengan kuasa beli rakyat. Budaya membeli buku juga berkait rapat dengan budaya membaca. Masyarakat akan herlumba-lumba untuk membeli buku jika ada potongan harga atau diberi secara percuma.
2. Industri buku menghadapi persaingan yang hebat daripada pelbagai media cetak yang lain seperti majalah dan akhbar tabloid yang memaparkan kisah-kisah menarik.
3. Industri buku di negara ini tidak sekukuh di negara-negara maju. Kebanyakan penerbit buku mencari jalan selamat dengan menerbitkan buku-buku teks dan buku rujukan sekolah untuk mengelakkan syarikat gulung tikar.
4. Menurut Persatuan Penjual Buku Malaysia, industri buku hanya mampu mencatatkan keuntungan antara RM100 hingga RM250 juta setahun.
5. Kegiatan mencetak atau menyalin (fotokopi) buku tanpa kebenaran menjatuhkan industri buku di negara kita.