Langkah-Langkah Memajukan
Sektor Pelancongan
Sektor
pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara
yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka
dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua
agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan
pembanguna negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar
dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah
daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat
beberapa langkah yang pragmatik untuk memajukan sektor pelancongan di negara
kita.
Antara
langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk
pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara. Banyak
produk pelancongan yanng wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit.
Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap
desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan,
agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita
juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian,
manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yanng diperkenalkan
mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya
pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh
itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini
dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai
contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar
bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan
produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.
Selain itu
pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok
dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan
negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara
yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini,
makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu
karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetetif
kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di
seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di
Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di
Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan
menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta.
Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan
langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi
pelancongan yang menarik.
Seterusnya,
kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan
lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara
ini. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup,
perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang
sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara
kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival
Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk
menganjurkan antarabangsa memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk
sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara
antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara
tahunan. Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjung negara ini
bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan
untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil
menyelam minum air. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat
meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.
Selain itu,
satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini
adalah dengan mengadakan kempen Tahun Malaysia Malaysia dengan lebih berkesan
dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen
untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar
bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini mennyediakan pelbagai
acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai
acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan
pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat
Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul
tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang
kompetetif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah
melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat
Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.