20 April, 2022

BUDAYA MEMBACA (PART 2)

 


MEMUPUK BUDAYA MEMBACA KE ARAH KECEMERLANGAN NEGARA

 

Anas Alam Faizli

Oktober 24, 2016 08:37 MYT

Dipetik dari https://www.astroawani.com/gaya-hidup/memupuk-budaya-membaca-ke-arah-kecemerlangan-negara-120293

 

Memupuk budaya membaca ke arah kecemerlangan negara

 

PADA tanggal 6 April 1933, Jerman telah menyaksikan segolongan mahasiswa di bawah rejim Nazi melancarkan “Biblioclasm” bagi menghapuskan buku-buku yang kononnya disifatkan “anti-Jerman”.

Kira-kira 2000 tahun yang lalu, pihak pemerintah China telah membakar buku-buku yang dianggap berbau Confuscian kerana tidak berpuas hati dengan pengaruh ajarannya yang semakin menular.

Ketika penaklukan kota Baghdad pula, Perpustakaan Agung Baitul Hikmah yang kaya dengan khazanah ilmu pengetahuan dimusnahkan oleh tentera Mongol.

Diriwayatkan Sungai Tigris bertukar warna menjadi hitam akibat banyaknya buku-buku yang dibuang.

Tesis umum yang dapat disimpulkan daripada peristiwa-peristiwa di atas ialah buku mempunyai peranan yang penting dalam mencipta dan seterusnya merangsang perkembangan ilmiah dan seterusnya tamadun manusia.

Buku berupaya membenihkan ilham pemikiran kritis daripada segi politik, falsafah serta sosio-ekonomi dalam kalangan  kelompok manusia.

Lantas, pembakaran buku menjadi salah satu instrumen utama menguburkan pengaruh sesebuah idealisme, corak pemikiran, ideologi, ataupun budaya oleh rejim yang berkuasa.

Buku sangat berkuasa dan berpengaruh sehinggakan Napoleon Bonaparte pernah berkata, “Aku lebih takut dengan empat orang penulis daripada 1,000 senapang.”

Kalimah Al-Quran yang pertama menekankan kepentingan membaca, “Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan” (Al-Alaq, 96:3-4).

Membaca juga tidak dapat dinafikan ialah titik permulaan penelaahan dan jelajah ilmu para cendekiawan dan filasuf dunia barat mahupun timur, klasik mahupun moden.

Hal ini jelas sekali mengangkat martabat buku di tempat yang tinggi dalam sejarah tamadun manusia. Peri pentingnya nilai penulisan melalui buku dan peradaban yang dicetuskan olehnya menobatkan buku sebagai antara penciptaan paling agung dalam sejarah tamadun manusia.

Kita diingatkan dengan mutiara kata “Setitik dakwat mampu membuat sejuta manusia berfikir tentangnya.”

 

Sejarah, Penulisan, dan Budaya Ilmiah Malaysia


Wacana kepentingan buku dalam mencorak hala tuju intelektual dan identiti sesebuah masyarakat tentu sekali berkait rapat dengan usaha merekod khazanah sejarah dan karya para sarjana tempatan.

Malang sekali, periwayatan sejarah Melayu bermula dari zaman ketibaan Parameswara ke persisiran Melaka, sehinggalah dasar-dasar pentadbiran ekonomi berasaskan perdagangan Melaka, strategi pertempuran Tun Perak dan kesahihan hikayat Hang Tuah, begitu daif dan corot.

Jika dibandingkan dengan tamadun-tamadun dunia yang lain, kualiti dan kesemestaan perekodan sejarah Melayu jauh tercicir.

Kesinambungan warisan ilmu dan budaya ilmiah para cendekiawan, ahli akademik dan pemikir asing mahupun tanah air juga rontok.

Jarang sekali kerja-kerja pemikir intelektual dan para filasuf diketengahkan dalam sistem pendidikan dan diskusi arus perdana seharian.

Ujian litmusnya mudah sekali, tanyakan sahaja orang awam kini sekiranya mereka mengenali personaliti ilmuan dan juga nama-nama pencipta sejarah mahupun fakta dan pengetahuan umum. Jangan terkejut jika yang dikenali hanyalah artis-artis dan ahli perniagaan semata-mata.

Kaji selidik oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 1996 dan 2005 menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun secara purata.

Rakyat Jepun dan Perancis membaca 10 buku, manakala Rakyat Amerika dan Kanada paling hadapan dengan 17 buku.

Kurangnya tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia sememangnya membimbangkan. Golongan belia dan dewasa kini lebih menjerumus ke arah hedonisme dan hiburan berasaskan digital. Mereka tidak lagi menemukan keseronokan dalam membaca sebagai hobi di waktu lapang, jauh pula sebagai sumber hiburan.

Akibatnya, hujah dan perbualan harian semakin tegar dinodai pandangan peribadi yang kurang berasas dengan kesahihan yang berpaksikan maklumat picisan daripada Facebook dan Twitter.

 

Membaca Buku Mempertingkat Pendidikan dan Kualiti Hidup

 

Pendidikan merupakan prasyarat peningkatan status sosio-ekonomi individu dan isi rumahnya, lantas mutu kehidupannya.

Kajian Jeanne Chall membongkar bahawa terdapat satu hubungan rapat dan eksklusif di antara pendidikan dan membaca. Maksudnya seseorang yang berpendidikan tinggi akan mudah untuk lebih membaca dan seseorang yang banyak membaca akan mudah ke arah berpendidikan tinggi.

Jelas bahawa membaca memangkin dan memperkukuh pendidikan seseorang dan sebaliknya.

Kajian empirikal juga telah membuktikan bahawa kualiti hidup berkadar secara langsung dengan bilangan buku yang dibaca.

Secara purata golongan yang membaca sebuah buku seminggu atau 50 buku setahun didapati mempunyai taraf kualiti kehidupan yang tinggi.

Sebaliknya, golongan yang hanya membaca majalah atau surat khabar dan kurang membaca secara amnya dilaporkan mempunyai kualiti kehidupan yang rendah.

Membaca ialah kaedah terpantas untuk memperolehi ilmu dan mendapatkan fakta. Secara langsung, membaca juga memperkukuh perbendaharaan kata dan penguasaan linguistik pembaca.

Perolehan ilmu ini seterusnya dapat melatih kefasihan berbicara, serta menambah fakta-fakta yang baru dan memperlengkap fakta sedia ada.

Pemikiran pembaca seterusnya dapat mempertajam kesedaran sivik, sosial, ekonomi, politik, sejarah dan isu-isu berbangkit masa kini.

Membaca turut menawarkan kaedah senaman minda yang berkesan. Sebagai aktiviti yang lebih kompleks daripada menonton televisyen; membaca bukan sahaja memperkuat rangkaian dalam otak manusia, malah berupaya merangsang pembinaan rangkaian saraf yang baru.

Hasilnya ialah penambahbaikan konsentrasi minda dalam kalangan kanak-kanak mahupun dewasa, serta dapat mengatasi masalah jangka masa perhatian yang singkat.

Buku juga mampu membawa pembaca ke dimensi berbeza seterusnya melatih daya imaginasi kreatif serta perkembangan emosi EQ pembaca.

Dimensi lain ini membawa pembaca menerokai pengalaman maya yang mungkin tidak dapat dirasai dalam kehidupan sehariannya, serta mencanangkan perspektif alternatif untuk melihat dunia melalui kaca mata yang berbeza.

Tambah nilai utama pengalaman maya ini ialah galakan perkembangan peribadi pembaca. Bukan sahaja daripada sudut intelektual dan IQ semata-mata, membaca juga boleh merangsang aspek psikologi, kognitif dan EQ pembaca.

Dalam menterjemahkan tulisan yang dibaca kepada bentuk-bentuk imaginasi visual dan emosi tanpa batasan, membaca menggalakkan sifat empati dan simpati.

Google dan rakannya tidaklah menawarkan ilmu pengetahuan yang lengkap tetapi cuma maklumat manakala buku menawarkan ilmu pengetahuan yang lebih dari sudut hujah dan pengolahan yang lebih terperinci, bertongkatkan ilmu latar belakang penulis yang lazimnya pakar di dalam disiplin ilmu terbabit.

Bibit-bibit maklumat sahaja tidak mencukupi jika tidak disusunrangka menjadi suatu sistem ilmu yang dapat dimanfaat.

T.S. Eliot merintih, “Di manakah kehilangan ilmu di tengah-tengah maklumat?”

Ilmu pengetahuan yang unggul telah digantikan dengan maklumat-maklumat berbentuk picisan sahaja.

 

Cabaran Membentuk Budaya Malaysia Yang Membaca

 

Desakan keperluan ekonomi isi rumah boleh dikatakan salah satu punca rakyat Malaysia kurang membaca. Peningkatan kos kehidupan negara membangun seperti Malaysia menghimpit kita untuk mengejar kesenangan material dengan mengorbankan masa untuk membaca dan perolehan ilmu pengetahuan.

Buku-buku terbitan arus perdana, lebih-lebih lagi yang diimport, begitu mahal sehingga mencecah ratusan Ringgit Malaysia.

Mustahil bagi 80 peratus isi rumah Malaysia yang memperolehi pendapatan kurang dari RM5,000 sebulan untuk menggembleng sebuah koleksi buku yang komprehensif.

Lebih membimbangkan ialah sifat cintakan ilmu pengetahuan yang semakin menipis. Masyarakat hanyut dibawa arus hedonisme sehinggakan tabiat membaca terbatas kepada buku-buku teks dan nota-nota kuliah untuk tujuan peperiksaan, dan bukannya lahir daripada kecintaan ilmu dan keinginan meneroka perbatasan ilmu yang sedia ada.

Komuniti setempat berperanan penting meringankan beban ini melalui penubuhan kelab-kelab buku dalam kalangan para penduduk sekampung atau setaman perumahan. Sedikit sebanyak, beban kos buku berkualiti yang tinggi dapat dipikul bersama.

Malahan, kelangsungan budaya membaca dan kebertanggungjawaban membaca sebagai ahli kelab buku juga dapat diterapkan.

Langkah-langkah memperkasa koleksi perpustakaan tempatan serta kempen-kempen mengimarahkannya turut berperanan melengkapi usaha menggalakkan budaya membaca dan menyegarkan kecintaan terhadap ilmu.

Menurut Walter Cronkite, “Sebesar mana pun jumlah harga pembinaan perpustakaan-perpustakaan kita, harganya jauh lebih murah berbanding dengan harga sebuah negara yang jahil!”

 

Kempen Membaca Untuk Warga Malaysia

 

Tabiat membaca memerlukan kepada perubahan minda yang peka dan dimulakan dari awal. Justeru, beban menerapkan sifat suka membaca di kalangan anak-anak kecil terletak pada bahu ibu bapa.

Individu-individu ini seterusnya diharapkan dapat menjadi asas kepada sebuah masyarakat Malaysia yang berpengetahuan, terpelajar dan dapat menyinambungkan gunapakai manfaat ilmu dalam perbincangan dan pekerjaan masing-masing.

Perubahan satu generasi ke generasi yang lain akan dapat memastikan kemampanan tabiat membaca dan juga penerusan budaya ilmu dalam kalangan generasi yang berikutnya.

Rebutlah peluang untuk membeli buku dan bahan bacaan pada harga yang murah. Pesta buku Popular dan Big Bad Wolf contohnya menawarkan peluang baik untuk mengumpul keperluan bacaan keluarga anda selama setahun.

Kedai buku terpakai dan perkhidmatan pinjaman buku turut menyediakan alternatif untuk mendapatkan buku dengan murah.

Buku dalam bentuk digital e-Book ataupun format .pdf yang dimuat turun melalui internet juga praktikal bagi yang dilengkapi kemudahan internet.

Tetapkan 10 minit setiap hari untuk membaca! Tekadkan iltizam untuk membaca sebelum bermain Angrybird.

Bawalah buku ke mana jua agar anda dapat menyelitkan sedikit pembacaan di waktu ruangan kosong. Langkah menyenaraikan buku dan tema yang ingin dibaca juga dapat membantu memotivasikan diri untuk sentiasa menghabiskan bacaan anda.

 

Budaya Membaca kearah Kecemerlangan Negara Tanggungjawab Bersama

 

Charles Jung menemui bahawa terdapat ciri-ciri bangsa yang sebenarnya telah dikodkan dan diwarisi melalui DNA. Hal ini menyebabkan setiap bangsa mempunyai ciri-ciri yang unik kepada mereka; maka tabiat suka membaca secara teorinya turut bergantung kepada keturunan dan kod DNA.

Ini boleh diubah dan wajib diubah! Dr Fadzilah Kamsah sering menegaskan semua tabiat dapat diubah sekiranya diulangi dan dirohkan lebih dari 40 kali.

Bukankah kita juga telah dijanjikan di dalam Al-Quran, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (13:11).

Sejarah tamadun negara-negara dunia pertama membuktikan kuasa membaca dan menimba ilmu pengetahuan dalam pembentukan tamadun manusia dan peningkatan kualiti hidup masyarakat.

Malaysia kini menghampiri halangan yang terakhir tetapi paling sukar dalam mengecapi kekayaan dan kemakmuran ekonomi; iaitu dalam membentuk sebuah masyarakat berasaskan pengetahuan yang dianggotai oleh para ilmuwan dan rausyanfikir.

Hasrat murni ini harus diletakkan sebagai tanggungjawab bersama oleh setiap individu.

 

Tabiat membaca mampu dan akan mengubah nasib negara kita.

 

Marilah kita menerapkan budaya minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia, menggalakkan budaya cintakan ilmu, serta mempertingkat status sosio-ekonomi kita demi merealisasikan impian untuk sebuah Malaysia yang lebih baik ke arah kecemerlangan negara.

“Bagaimana sibuk sekalipun, anda mesti mencari masa untuk membaca, jika tidak anda akan kalah dengan jalan kejahilan yang anda pilih sendiri” — Confucius



            *Anas Alam Faizli pemegang ijazah kedoktoran pentadbiran perniagaan. Beliau merupakan ahli profesional industri pembinaan serta minyak dan gas, penulis buku "Rich Malaysia, Poor Malaysians" dan berTwitter di @aafaizli

           

            **Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.



   

BUDAYA ILMU

 

Budaya Ilmu


Ilmu ialah satu perkara asas yang menjadi pokok pembinaan dan tamadun sesebuah bangsa. Pembinaan ilmu yang bersepadu seharusnya menjurus kepada kemampuan manusia membudaya dan memanfaatkan nya. Dengan adanya pembudayaan ilmu akan membawa kepada peningkatan intelektualisme, pemikiran, budaya hidup, dan pembangunan insaniah. Pencarian ilmu sewajarnya dipelbagaikan dan tidak terhad kepada beberapa bidang ilmu sahaja.


Langkah-langkah Mempertingkatkan Budaya Ilmu


  1. Mengubah tanggapan konsep belajar bukan semata-mata mengejar kecemerlangan akademik tetapi kefahaman dan penghayatan kepentingan ilmu yang dipelajari agar dapat dimanfaatkan. Konsep berasaskan peperiksaan dalam sistem pendidikan negara perlu dinilai semula.
  2. Pelajar mesti dibekalkan dengan kukuh kaedah pembelajaran berkesan yang menekankan kemahiran mencatat nota, teknik membaca, mendengar, dan kemahiran penting yang lain.
  3. Kaedah Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) dalam kelas patut ditingkatkan agar lebih kreatif dan dapat menjana daya keintelektualan pelajar. Mencari dan mengkaji kekangan dan masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah agar mendapat formula terbaik dalam mendidik pelajar.
  4. Program-program ilmu mestilah diperbanyak untuk proses percambahan minda melalui diskusi ilmu dan penulisan buku-buku ilmiah. Penggunaan teknologi elektronik kini seperti internet patut dimanfaatkan.
  5. Aktiviti pemugaran ilmu wajar diperluas dengan membaca, memahami, dan menghayati apa-apa bahan bacaan ilmiah seperti majalah, jurnal, buku-buku, dan lain-lain. Majlis-­majlis ilmu juga patut selalu dihadiri dengan berguru, berkumpulan, dan berbincang.
  6. Peranan ibu bapa amat penting bagi memupuk budaya sayang akan ilmu sejak di bangku sekolah. Ibu bapa yang prihatin akan dapat menyumbang sesuatu yang bererti kepada masyarakat.

BUDAYA MEMBACA (PART 1)

 BUDAYA MEMBACA


Pengenalan


Tarikh 23 April merupakan tarikh penting bagi meraikan keagungan ilmu. Tarikh ini telah diisytiharkan sebagai Hari Buku Sedunia. Kadar celik huruf rakyat Malaysia adalah lebih daripada 93 peratus. Negara akan terus unggul dan mampu bersaing dengan negara­-negara lain yang maju jika nilai-nilai keilmuan dan pendidikan diberikan tumpuan utama. Sejarah awal telah membuktikan tamadun-tamadun unggul dunia tercipta kerana masyarakatnya yang berilmu dan cinta akan buku. Kajian yang dibuat oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 1996 menunjukkan purata rakyat Malaysia membaca ialah dua naskhah setahun.


Situasi Budaya Membaca di Malaysia


  1. Sambutan Hari Buku Sedunia tidak mendapat sambutan. Masyarakat tidak langsung maklum tentang signifikan dan kepentingan ilmu. Walau bagaimanapun, masih ada segelintir masyarakat yang bersungguh-sungguh untuk menjadikan tarikh ini sebagai tarikh yang patut diingati.
  2. Kajian yang dibuat pada tahun 1984 menunjukkan purata rakyat negara ini membaca hanya sehelai halaman buku dalam setahun. Keadaan ini menunjukkan rakyat kita tidak minat membaca.
  3. Kajian yang dilakukan oleh ahli akademik tempatan pada tahun 1983 menunjukkan 0.028 peratus atau 28 daripada setiap 100 ribu orang menjadi ahli mana-mana perpustakaan.
  4. Perangkaan pada tahun 2001 menunjukkan peningkatan terhadap bilangan keahlian perpustakaan meningkat kepada 2 610 565 orang.


Punca Budaya Membaca yang Lemah di Kalangan Rakyat Malaysia


  1. Didikan awal di rumah yang lemah. Mengikut kajian, 27 peratus tidak mempunyai buku di rumah, 30 peratus tidak memiliki majalah, dan 10 peratus tidak memiliki surat khabar di rumah. Ibu bapa tidak menekankan kepentingan membaca dan tidak meinberikan dorongan kepada anak-anak supaya minat membaca.
  2. Kedudukan ekonomi keluarga yang tidak kukuh. Kemiskinan dalam kalangan rakyat telah mengehadkan perbelanjaan kepada kepentingan makan dan pakai sahaja. Membeli buku dianggap membazir.
  3. Persaingan daripada teknologi elektronik. Alat-alat elektronik seperti televisyen, radio, video, dan lain-lain memudahkan manusia menjalani kehidupan harian dan mendapat hiburan. Oleh yang demikian, manusia menjadi lalai.
  4. Kesibukan bekerja dan tiada masa untuk membaca. Mereka tiada masa senggang disebabkan terlalu sibuk mengejar kemajuan.
  5. Tiada kesedaran tentang pentingnya ilmu. Membaca merupakan amalan baik dan penting untuk mendapatkan segala bentuk ilmu. Tahap kesedaran yang rendah telah meletakkan amalan membaca di peringkat yang membosankan dan melecehkan.
  6. Pengaruh bahan picisan yang terlebih dahulu membentuk budaya membaca rakyat yang rendah. Bahan picisan digemari kerana kandungannya yang menarik dan menyeronokkan. Kandungan yang hanya untuk hiburan dan gosip-gosip mengakibatkan rakyat tidak gemar membaca bahan-bahan bacaan yang berat.


Kesan Kebanjiran Bahan Picisan


  1. Meningkatkan gejala sosial. Majalah-majalah hiburan dan komik sering memaparkan dan menghidangkan bahan-bahan yang dapat menarik minat golongan muda. Nilai-nilai negatif, ganas, dan lucah akan tersebar dengan cepat.
  2. Permintaan terhadap buku-buku ilmiah akan merosot. Masyarakat mempunyai alternatif lain sebagai bahan bacaan. Buku-buku ilmiah tidak terjual.
  3. Pembangunan negara akan terjejas. Pembangunan negara terutamanya pembangunan manusia akan tergugat kerana negara dilanda masalah sosial yang kronik. Pembangunan ekonomi juga mengalami masalah sumber tenaga yang tidak berkualiti.
  4. Kepercayaan kepada perkara-perkara karut dan tahyul akan berleluasa. Majalah-majalah kisah benar laris jualannya disebabkan oleh kandungannya yang sering menggemparkan. Bahan-bahan picisan ini akan menggugat keimanan dan dapat memesongkan akidah.
  5. Menjejaskan usaha memartabatkan bahasa Melayu. Bahan-bahan bacaan ini seringkali menggunakan bahasa "rojak" yang mengelirukan. Banyak terdapat kesalahan bahasa dan ejaan yang nyata.
  6. Menghalang usaha melahirkan rakyat berilmu. Individu tidak memperoleh ilmu pengetahuan daripada pembacaan bahan bacaan picisan kerana kandungannya yang tidak bersifat ilmiah.



Kesan Negatif Kurang Membaca


  1. Masyarakat dilanda masalah kekeringan idea dan ketandusan daya cipta sehingga tidak mampu untuk berkembang dan memanfaatkan potensinya. Golongan berijazah dan berkelulusan tinggi dengan pelbagai sijil kemahiran tidak mampu memanfaatkan ilmu­ilmu yang diperoleh untuk diperkembang dengan kreatif dan inovatif.
  2. Menyebabkan kelembapan daya fikir dan gagal memahami realiti semasa. Banyak program dijalankan untuk mengatasi masalah tetapi gagal mengubati masalah sebenar yang menjadi punca. Walaupun telah banyak masa, tenaga, dan wang dihabiskan, namun tiada kesan yang dapat dilihat disebabkan tiada penyelidikan dibuat.
  3. Sindrom merelakan diri diperhambakan akan menular dalam kalangan rakyat kerana tiada kekuatan jiwa. Hal ini mengakibatkan manusia meniru dan menciplak segala­-galanya disebabkan ketiadaan ilmu, sahsiah, dan rohani yang mantap.
  4. Kekurangan daya yakin akan diri. Bermaksud sentiasa bergantung pada pendapat dan tindakan orang lain lantaran kurang upaya meyakinkan orang lain terhadap idea yang diutarakan. Perasaan rendah diri sering membataskan pergaulan dan aktiviti lain.
  5. Pembudayaan ilmu tidak akan tercapai. Asas pembinaan budaya ilmu, sahsiah, dan kecemerlangan pendidikan bermula daripada amalan membaca. Sekiranya kurang membaca, ilmu tidak dapat dimanfaatkan seterusnya budaya membaca yang baik juga sukar dicapai.


Industri Buku di Malaysia


1. Tabiat membaca rakyat Malaysia sebenarnya semakin meningkat. Malangnya prestasi ini ada pasang surut kerana permintaan buku berkait rapat dengan kuasa beli rakyat. Budaya membeli buku juga berkait rapat dengan budaya membaca. Masyarakat akan herlumba-lumba untuk membeli buku jika ada potongan harga atau diberi secara percuma.
2. Industri buku menghadapi persaingan yang hebat daripada pelbagai media cetak yang lain seperti majalah dan akhbar tabloid yang memaparkan kisah-kisah menarik.
3. Industri buku di negara ini tidak sekukuh di negara-negara maju. Kebanyakan penerbit buku mencari jalan selamat dengan menerbitkan buku-buku teks dan buku rujukan sekolah untuk mengelakkan syarikat gulung tikar.
4. Menurut Persatuan Penjual Buku Malaysia, industri buku hanya mampu mencatatkan keuntungan antara RM100 hingga RM250 juta setahun.
5. Kegiatan mencetak atau menyalin (fotokopi) buku tanpa kebenaran menjatuhkan industri buku di negara kita.






14 April, 2022

PELANCONGAN (PART 2)

 

Kepentingan Sektor Pelancongan Kepada Rakyat Dan Negara

 

Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri pelancongan kerana langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ramai pelancong sama ada dari luar ataupun dalam memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?

 

Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia. Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati seperti Bandar Bersejarah yang terletak di negeri Melaka. Tempat – tempat bersejarah ini dapat mengembangkan ilmu pengetahuan seseorang. Di negara kita pelancong juga boleh bermain sambil melawat tempat – tempat  bersejarah ini kerana kita mengetahui bahawa sekiranya cuma melihat barangan bersejarah amat membosan bagi sesetengah pelancong. Jadi, bagi memanfaatkan pelbagai pihak, selain barangan bersejarah persembahan turut diadakan seperti di Kota A – Famosa. Di Kota A – Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah pada masa yang sama kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. Tempat – tempat ini sesuai untuk semua golongan masyarakat sama ada kanak – kanak ataupun dewasa. Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita.

 

Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Negara kita yang mempunyai pelbagai kaum yang berlainan dan masakan yang berbeza seperti masakan Melayu, masakan Cina dan masakan India. Negara – negara Barat seperti England cuma mempunyai satu jenis kaedah masakan seperti kentang goreng, stik dan salad. Negara Itali pula mempunyai masakan seperti spageti, pizza dan telur dadar. Negara kita tidak seperti negara lain yang cuma mempunyai satu kaedah masakan. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mengetahui pelbagai jenis makanan dari serata dunia seperti yu sang, bau dan char kuey teow daripada kaum Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu, capati, tosai dan idli daripada kaum India serta tidak kurangnya masakan barat dan masakan enak daripada kaum yang berlainan. Masakan yang tidak pernah dirasai oleh pelancong ini memberikan mereka rasa baharu maka menarik minat mereka untuk mengunjungi Malaysia. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan.

 

Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan dan mengembangkan industri kraf tangan di Malaysia. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraf tangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli – belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain – lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan. Jelasnya, industri kraf tangan dapat dimajukan melalui sektor pelancongan.

 

Akhir sekali, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan lain-lain. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan sari yang diperbuat daripada kain sutera boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Tegasnya, keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.

 

Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyararakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tecinta kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.


13 April, 2022

KERJA SAMBILAN (PART 2)

 

Kebaikan & Faedah Bekerja Sambilan Kepada Pelajar
 

 

Dalam meniti kehidupan pada marcapada, masyarakat semakin dibebani dengan modenisasi dalam ekonomi yang tidak menentu. Hampir keseluruhan daripada kita menggunakan gajet seperti telefon pintar untuk menghadapi rutin harian pada ketika ini. Di samping keperluan biasa seperti makan, minum dan pakaian yang meningkat harganya dari hari ke hari telah memberikan tekanan ekonomi kepada masyarakat. Kesannya, terdapat golongan pelajar yang terpaksa untuk melakukan kerja sambilan demi menampung keperluan ekonomi bagi diri serta meringankan bebanan ibu dan bapa. Situasi ini kita boleh lihat khususnya di institusi pengajian tinggi dan apabila pelajar sekolah menjalani cuti yang panjang. Jika kita melihat dari sudut yang positif, terdapat pelbagai faedah bekerja sambilan kepada pelajar yang akan diperoleh. Maka, wajar untuk kita bincangkan manfaat tersebut demi kemaslahatan pelajar, ibu, bapa dan golongan pemimpin negara.

Antara manfaat bekerja sambilan ketika dalam pengajian di universiti ataupun sewaktu cuti persekolahan adalah ia dapat mengisi masa lapang mereka dengan perkara yang berfaedah. Dewasa ini, kita dapat lihat melalui media massa bahawa terdapat anak muda yang terjebak dengan gejala negatif seperti berlumba haram, menghisap dadah dan gangsterisme. Namun, polemik ini dapat dielakkan jika mereka memenuhi ruang masa terluang mereka untuk bekerja sambilan di restoran, pusat membeli belah dan sebagainya. Lebih-lebih lagi sebagai seorang pelajar, mereka akan kurang masa untuk melakukan perkara-perkara yang sia-sia selain daripada mengulangkaji pelajaran dan kemudian bekerja sambilan. Pada mulanya mereka pasti akan berasa letih kerana tenaga dan masa yang digunakan untuk diri mereka tetapi kelak mereka akan mengerti tindakan yang mereka ambil memberikan manfaat buat diri mereka sendiri. Bak kata pepatah Melayu, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Faedah lain yang akan diperoleh apabila pelajar melakukan kerja sambilan adalah mereka dapat menambah kemahiran diri. Hal ini adalah mustahak kerana menjelang kedewasaan, pelajar perlu mengasah kemahiran diri khususnya kemahiran berkomunikasi untuk menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi. Skil sosial ini juga penting untuk pelajar apabila masuk ke alam pekerjaan nanti. Selain itu, pelajar juga akan menambah kemahiran dalam bentuk pekerjaan yang dilakukan. Sebagai contoh, apabila bekerja sebagai pelayan restoran, anda akan mempelajari tentang etika pemakanan, menguruskan tempahan dan sebagainya. Pengalaman ini adalah berharga jika pelajar menyedarinya dan dapat mengimplementasikan dalam kehidupan masing-masing pada masa akan datang. Tuntasnya, melakukan kerja sambilan semasa dalam pengajian ssebagai seorang pelajar dapat menambah kemahiran diri kerana laut yang  ditimba tidak akan kering.

Pada masa yang sama, kerja sambilan dapat membantu pelajar dari segi kewangan. Umum mengetahui bahawa terdapat pelajar yang bekerja kerana kurang sokongan kewangan tetapi ada yang bekerja sambilan hanya untuk mendapat wang lebih demi kepuasan diri. Apapun niat pelajar untuk bekerja sambilan, pastikan wang atau gaji yang diperoleh digunakan sebaik mungkin. Mungkin ada yang akan menggunakannya untuk menampung kos pengajian di universiti atau membayar sewa rumah dan duit motorsikal misalnya. Ada pelajar yang akan menabung wang tersebut persis kata peribahasa, sediakan payung sebelum hujan. Ada juga yang akan menggunakannya untuk berseronok menjalankan aktiviti bersama rakan-rakan. Tindakan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan kewangan yang ditampung selama ini oleh ibu dan bapa. Secara tidak langsung juga memupuk diri pelajar untuk berdikari dan belajar mengurus kewangan diri dengan lebih baik.  Tegasnya, bekerja sambilan sebagai pelajar dapat mengukuhkan aspek kewangan diri mereka dan juga keluarga.

Akhir sekali, pelajar yang bekerja sambilan dapat membentuk disiplin diri yang baik. Sekiranya mereka bekerja, pastinya masa mereka untuk belajar dan berehat perlu diuruskan dengan baik. Pelajar akan menjadi lebih disiplin untuk menepati masa supaya pelajaran mereka tidak terjejas, hadir ke tempat kerja pada waktunya dan mendapat rehat yang cukup. Tambahan pula, di tempat kerja pelajar perlu mengikuti peraturan seperti memakai pakaian yang ditetapkan dan menjaga tingkah laku apabila berhadapan dengan pelanggan. Justeru dengan perkara yang perlu dilakukan oleh pelajar, ia pasti dapat membentuk jati diri dan ketrampilan yang terbaik dalam diri mereka. Persis kata mutiara, belakang parang pun kalau di asah nescaya tajam. Intihannya, pelajar akan menjadi seorang individu yang lebih baik dan berketrampilan tinggi dimana nilai itu akan dilihat sebagai satu kelebihan buat majikan mereka pada masa hadapan.

Konklusinya, terdapat banyak faedah yang akan diperoleh pelajar apabila melakukan kerja sambilan. Tetapi, fenomena ini perlu diperhati dengan teliti kerana kita tidak mahu melihat anak muda terpaksa bekerja demi menampung kos pengajian di universiti atau kolej. Pihak berkuasa perlu memastikan capaian pendidikan di dalam negara adalah berpatutan dan mampu untuk disertai oleh seluruh ahli masyarakat yang menetap di Malaysia. Kita tidak mahu anak muda pada hari ini bersusah payah bekerja hanya untuk mendapat segulung ijazah demi masa hadapan mereka. Jika mereka tidak dapat menumpukan perhatian dalam pengajian yang diambil pasti akan merugikan masa dan wang mereka. Ibarat pepatah Melayu, yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. Semoga apapun mekanisme yang diambil oleh pelajar, kita berharap ia dapat melahirkan generasi yang bakal memacu negara ke arah kemajuan dan kejayaan di persada dunia.


Contoh soalan boleh dilihat di:

1.  soalan

12 April, 2022

KERJA SAMBILAN (PART1)


20 Kerja Dari Rumah & 10 Platform Kerja Boleh Percaya Di Malaysia

 

(Dipetik dari Propertyguru.com.my)

Keadaan ekonomi yang tak menentu ni membuatkan ramai terjejas pendapatan. Tambahan pula kena duduk dekat rumah sebab PKP, nak ke hulu ke hilir cari kerja pun susah, kan?

Kes menganggur di Malaysia pula meningkat tanpa diduga sejak negara kita dilanda krisis COVID-19. Ramai yang hilang pekerjaan sebab majikan tak mampu bayar gaji, terpaksa berhenti selepas kedai ditutup, nak jaga anak positif Covid-19, dan pelbagai faktor lagi.

Yang lebih menyayat hati, hari-hari kita dapat perkongsian cerita rakyat kena potong gaji, tak cukup duit, jadi kemurungan, sampai kes bunuh diri pun makin menjadi-jadi!

Walaupun perit, tapi hidup kena diteruskan dan nak tak nak kena rebut peluang bekerja sendiri. Tanpa sedar, ada pelbagai jenis kerja yang boleh dibuat dari rumah untuk cari duit belanja. 

Tambah-tambah lagi kita hidup di zaman serba digital di mana ekonomi gig sedang berkembang, jadi inilah masanya untuk asah kemahiran dan bakat yang boleh membantu untuk kerja dari rumah.

Jadi, kali ni kami akan kongsikan senarai kerja yang anda boleh buat dari rumah, platform mana yang sering digunakan dan tip supaya tak tertipu bila buat kerja online.

 

20 Kerja Sambilan Di Rumah

Bila duit tak cukup nak belanja bulanan, boleh jadi resah gelisah dibuatnya. Lebih-lebih lagi kalau komitmen tinggi, mana nak cekau duit nak bayar rumah, kereta, kad kredit, atau pinjaman-pinjaman lain, betul tak?

Jangan risau sebab ada banyak sangat peluang pekerjaan dari rumah yang boleh dicari di alam maya (tapi, jangan salah tempat pula), dan anda pasti menemui kerja dari rumah yang serasi dengan kemahiran anda.

Antara 20 kerja tersebut adalah:

1. Penulis Bebas (Freelance Writer)

Kalau anda memang jiwa menulis, ada banyak sangat peluang untuk anda di luar sana. Hampir semua jenis perniagaan akan memerlukan penulis, jadi bina portfolio anda dan cari kerja penulisan yang sesuai dengan anda.

2. Pemasaran Afiliasi (Affiliate Marketing)

Bagi yang mempunyai strategi pemasaran yang hebat, inilah kerja dari rumah yang mampu memberikan pendapatan yang tinggi. Bila jadi ejen afiliasi, anda akan dibayar komisyen antara 2% - 60% tau. Menarik, kan?

3. Pembantu Maya Peribadi (Personal Virtual Assistant)

Sekiranya anda seorang yang teratur dan dapat menangani tugas pejabat seperti membalas e-mel, pengurusan kalendar, memasukkan data dan pengurusan media sosial, pekerjaan ini sangat sesuai untuk anda.

4. Pereka Grafik (Graphic Designer)

Rugi tak tawarkan kemahiran membangun dan menyunting grafik yang ada secara Bukan setakat dalam Malaysia, anda nak ke pasaran global pun boleh.

5. Pereka Animasi (Animator)

Dah tengok Upin Ipin, Ejen Ali atau BoBoiBoy? Haaa…inilah kemahiran yang ramai cari untuk pereka animasi. Permintaan sangat tinggi untuk freelance animasi, jadi rebut peluang yang ada secepat mungkin.

 6. Tutor Online

Anda pakar subjek Matematik, Sejarah atau lain-lain? Musim pandemik ni, bukan kelas saja online, tuisyen pun ramai yang nak dapatkan khidmat online sebab risau nak hantar anak pergi mana-mana. Inilah masa untuk anda mendidik dari rumah sambil buat duit lebih.

7. Perniagaan Makanan

Buat yang pandai memasak, rugi kalau tak cuba jual masakan anda. Mana tahu makanan tu sedap sangat sampai tiba-tiba viral, tak menang tangan nak memasak pula. Kita tak tahu kalau tak cuba, kan?

8. Dropship

Dropship ni maknanya anda memasarkan produk syarikat / orang lain dan uruskan komunikasi dengan pelanggan saja. Tak perlu risau tentang penghantaran sebab syarikat / orang tu yang akan uruskan. Maknanya, anda kena bijak pemasaran dan berkomunikasi saja.

9. Perkhidmatan Pelanggan

Adakah anda mempunyai kemahiran komunikasi yang sangat baik dan juga talian internet yang kuat? Anda boleh cuba untuk memohon kerja sebagai khidmat pelanggan dari rumah. Kerja ni pun dah boleh diuruskan dari rumah kalau anda dah tahu selok belok syarikat.

10. Pekerja Kemasukan Data (Data Entry)

Memasukkan data untuk perniagaan bukanlah pekerjaan yang menarik, tapi sangat senang! Anda pula tak memerlukan pengalaman untuk memohon, jadi boleh mulakan kerja sambilan dengan masukkan data.

11. Copywriter

Kerja ni sesuai untuk mereka yang pandai menjual melalui penulisan. Kiranya apa yang anda tulis tentang sesuatu produk / servis akan menarik perhatian prospek.

 12. Pengurus Media Sosial

Sekarang ni semua perniagaan nak dapatkan tarikan di media sosial. Kalau anda hebat mengurus konten media sosial, inilah kerja sambilan yang boleh anda cuba. Dapat syarikat besar atau femes, boleh tahan bayarannya, tau!

13. Pengulas Produk (Product Review)

Siapa yang berpengaruh dan ramai pengikut (follower) di media sosial boleh ambil peluang untuk jadi pengluas produk berbayar. Lagi ramai pengikut, lagi tinggi bayaran anda boleh dapat.

14. Pengaturcara Komputer (Programmer)

Kadang-kadang satu bahasa programming seperti Ruby pun dah cukup untuk anda mendapatkan kerja sebagai programmer dalam talian. Sebagai pakar, anda boleh mendapat bayaran tinggi dan caj ikut jam.

15. Penterjemah (Translator) 

Kalau anda fasih dalam dua bahasa atau lebih, kemungkinannya anda boleh dapatkan kerja untuk terjemah dalam bahasa tersebut. Di Malaysia sekarang pun banyak syarikat yang dah mencari penterjemah untuk laman web, artikel, dokumen dan pelbagai lagi.

16. Pembangun Web (Web Developer)

Boleh kata semua syarikat, baik yang baru atau lama, akan perlukan laman web. Jika anda mempunyai kepakaran untuk membangunkan laman web dari awal, pasti mudah untuk bersaing dengan yang lain.

17. Youtuber

Siapa hebat buat konten unik dan mampu meraih ramai penonton, ada ganjaran lumayan dari Youtube untuk anda. Jangan main-main, orang memasak atau menyanyi pun boleh viral kalau video menarik dan tertarik.

18. Pembangun Aplikasi Mudah Alih (Mobile App Developer)

Kemahiran ni adalah salah satu industri yang tengah panas membangun sekarang. Anda boleh cari kerja di syarikat secara online ataupun buat aplikasi sendiri yang menarik seperti aplikasi permainan atau pembelajaran.

19. Editor Video

Kerja editor video memang senang buat dekat rumah sebab perlukan software Kalau ada semua kelengkapan dan anda boleh hasilkan video yang menarik, sangat senang untuk dapatkan kerja.

20. Pengulas Buku

Kerja ni memerlukan kemahiran bahasa dan analisis yang baik. Sebabnya, ia masih baru di Malaysia dan kebanyakan peluang wujud di luar negara. Kalau anda memang pencinta buku dan mahu cari duit lebih dengan buat review, apa kata tengok senarai syarikat yang memang sentiasa mencari pengulas buku sambilan ni.

Nampak tak betapa banyaknya peluang untuk yang nak bekerja dari rumah. Kalau anda boleh keluar rumah dan ada kenderaan yang bersesuaian, lagi bertambah lah kerja part time yang boleh dibuat.

Platform untuk cari kerja-kerja dalam senarai di atas pun dah tersedia online. Anda hanya perlu rajin meneroka dan tahu selok beloknya.

 

 

10 Platform Boleh Dipercayai Untuk Kerja Dari Rumah

Bagi yang nak mencari kerja part time di rumah atau freelance, boleh mulakan dengan bertanya kenalan terdekat dulu ataupun buat carian online. Mana tahu memang ada yang sedang mencari seseorang dengan kemahiran anda, ada rezeki terus dapat kerja.

Tapi, kalau tak dapat cari dengan cara tu, anda tak perlu risau sebab ada pelbagai platform yang boleh digunakan.

Kebanyakan platform untuk kerja sambilan ni anda boleh mendaftar secara percuma, tapi akan ada yuran perkhidmatan / komisyen yang ditolak daripada jumlah pendapatan anda. Kiranya platform ni boleh dianggap sebagai ejen yang memberikan anda kerja.

Bagi pendaftaran pula, anda hanya perlu ke laman web mereka dan masukkan semua maklumat yang diperlukan.

Pastikan anda guna platform yang sesuai dengan kerja freelance anda dan bandingkan dulu kelebihan dan kekurangan mereka sebelum membuat keputusan. Jom tengok!

 

1. Upwork

2. Freelancer

3. Guru

4. FlexJobs 

5. Fiverr 

6. LinkedIn ProFinder 

7. FoodPanda Partner 

8. GrabFood Merchant 

9. Kumoten 

10. Facebook Jobs & Group


Untuk maklumat lanjut, sila lihat :


10 April, 2022

KERJASAMA MALAYSIA DAN ASEAN

 

Kerjasama bidang politik dan ekonomi MALAYSIA DENGAN NEGARA-NEGARA  ASEAN.

         

 

Malaysia menjalin kerjasama yang aktif dalam ASEAN. Kerjasama politik dan ekonomi yang terjalin dapat memajukan negara.   

         

         

         

Kerjasama Politik

 

1.      Menyokong pelaksanaan Perjanjian Zon Aman Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN)

       

Menyokong menjadikan kawasan ASEAN bebas daripada campur tangan kuasa asing Memastikan ASEAN bebas dalam membuat keputusan tanpa diganggu gugat oleh kuasa asing Rakyat berhak menentukan nasib negaranya sendiri Memelihara keamanan ASEAN tanpa kuasa ketenteraan Sebarang persengketaan akan diselesaikan secara aman/rundingan

 

2.      Menyokong Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear AT (SEANWFZ)      

 

Menyokong kawasan ASEAN bebas daripada penggunaan senjata nuklear Memastikan tiada negara anggota membangunkan atau membenarkan kuasa luar menggunakan senjata nuklear Menjamin keselamatan kawasan perairan Asia Tenggara

 

3.      Menyertai Forum Serantau ASEAN (ARF)

       

Menyokong dan menyertai forum yang dapat membantu mewujudkan keselamatan, keamanan dan kestabilan politik kawasan serantau Membantu menyelesaikan masalah politik, sosial dan ekonomi negara anggota

 

 

Kerjasama Ekonomi

 

1.      Menyokong konsep Pertumbuhan Segi Tiga

 

Memorandum melibatkan kerjasama pelancongan, perdagangan dan penyediaan kemudahan infrastruktur antara negara terlibat Membantu pembangunan dan peningkatan taraf hidup penduduk kawasan terlibat Pembangunan wilayah-wilayah ASEAN yang lebih kecil Di selatan : Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Singapura (1MS-GT) Di Utara : Segi Tiga Pertumbuhan In donesia, Malaysia, Thailan (1MT-GT) EAGA-B1MP - Brunei, Indonesia Malaysia. Philipine Pelaburan silang yang dilakukan dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia melabur RM 106.6 juta di Riau dan RM3.1 B di Singapura Pemindahan teknologi dan kepakaran . aliran modal dan peluang pekerjaan meningkat

 

2.      Menyokong Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE)

 

Menyokong kawasan mengeksploitasi 200 batu nautika perairan sesebuah negara untuk tujuan sumber perikanan dan petroleum. Memastikan negara aggota mematuhi dan menghormati keputusan yang telah dipersetujui.

 

3.      Melaksanakan Projek Perindustrian ASEAN          

 

Projek Perindustrian ASEAN Projek baja urea - Malaysia-Indonesia Projek Garam Abu Soda - Tahailand Projek Fabrikasi tembaga-Filipina Projek Vaksin Hepatitis B- Singapura

 

4.      Menyokong pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA)

 

Menyokong kawasan ASEAN mengamalkan kadar tarif atau cukai perdagangan yang rendah Menggalakkan perdagangan antara negara anggota ASEAN dengan lebih aktif dan menguntungkan semua pihak Semua barangan negara ASEAN boleh menembusi pasaran negara anggota dengan bebas tanpa sekatan takrif Saling membantu memajukan pasaran barangan dalam kalangan negara anggota untuk pembangunan dan kemajuan bersama

 

5.      ASEAN+3     

 

Melibatkan Negara ASEAN dan tiga Negara Asia iaitu Jepun, China dan Korea Selatan Malaysia menjadi tuan rumah sekretariat ASEAN +3

KERJASAMA MALAYSIA THAILAND

 

Kerjasama Malaysia, Thailand inisiatif baru masa depan Asean

Oleh Kamal Ahmad


mohdkamal@bharian.com.my

DUA perjanjian dan dua memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani tahun depan. Demikian antara hasil produktif serta komprehensif Perundingan Tahunan Keempat Malaysia-Thailand di Bangkok, 8 Disember lalu. Ini bukti tahap perhubu-ngan membabitkan kerjasama, komitmen dan persefahaman kedua-dua negara berada pada tahap cukup baik.

Perjanjian Menyeberang Sempadan, Perjanjian Bidang Belia dan Sukan, MoU Memerangi Penyeludupan Manusia serta MoU Kerjasama Bidang Pendidikan Tinggi akan ditandatangani dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Kami setuju sama-sama meneroka peluang baru sejajar perubahan landskap global. Selain itu, kami mahu semua perkara tertunggak diselesaikan menjelang Perundingan Tahunan Kelima di Kuala Lumpur, tahun depan. Maknanya semua perjanjian dan MoU mesti selesai menjelang perundingan itu," kata Datuk Seri Najib Razak, pada sidang akhbar bersama rakan sejawatnya, Abhisit Vej-jajiva selepas Perundingan Tahunan Keempat Malaysia-Thailand kira-kira sejam di Rumah Kerajaan, Bangkok itu.

Sesi itu disertai menteri dan timbalan menteri dari 10 kementerian masing-masing. Kerjasama keselamatan dalam perundingan kali ini menyentuh isu merentas sempadan dan kerjasama di Wilayah Sempadan Selatan (SBP) Thailand; perhubungan penduduk dengan penduduk; pergolakan di selatan Thailand; pembangunan infrastruktur serta kerjasama ekonomi.

Kedua-dua pemimpin juga setuju mekanisme kerjasama seperti Jawatankuasa Bersama Untuk Mesyuarat Kerjasama Dua Hala (JC) dan Strategi Pembangunan Bersama Untuk Kawasan Sempadan (JDS) dipengerusikan bersama Menteri Luar kedua-dua negara. Kedua-dua mekanisme ini menjadi medium berkesan dua negara membincangkan isu bersama dan memudahkan kerjasama dalam beberapa bidang.

"Saya juga menjemput sekumpulan misi pelaburan Thailand ke Kuala Lumpur awal tahun depan untuk berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan dalam melihat peluang melabur di Malaysia.
"Saya mahu melihat kerjasama dengan Thailand sebagai model dua jiran rapat boleh bekerjasama sebagai rakan kongsi tulen. Malaysia rakan kongsi dalam pembangunan ekonomi. Malaysia rakan kongsi dalam soal keselamatan untuk menjadikan kedua-dua negara lebih selamat dan rantau ini lebih aman.

"Malaysia juga rakan kongsi Thailand dalam membina inisiatif baru untuk masa depan dalam konteks Asean serta komuniti global," katanya Najib lagi.

Beliau berkata, kedua-dua negara akan meneruskan perbincangan membabitkan beberapa perkara termasuk mencari jalan menyelesaikan masalah teknikal menghubungkan data sistem Smartcard Thailand dan MyKad Malaysia dalam usaha mengenal pasti individu memiliki dua kewarganegaraan.

Najib berkata, Malaysia dan Thailand turut menyentuh mengenai kepentingan integrasi ekonomi di kalangan kedua-dua ekonomi selain integrasi lebih kukuh dalam koridor utara dengan wilayah selatan Thailand. Kedua-dua negara juga boleh menganjurkan program khusus melihat peluang di koridor itu seperti pekerjaan dan pelaburan selain kerjasama dalam pemprosesan serta memperkenalkan teknologi baru menoreh getah.
Kedua-dua pihak turut setuju membincangkan di bawah kerangka kerja JDS untuk memperincikan cadangan menghubungkan Pelan Pembangunan Selatan (SDP), Thailand dengan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) dan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Mengenai MoU dalam bidang pendidikan tinggi, beliau berkata ia akan ditandatangani pada suku pertama 2010. Memorandum itu untuk menggalakkan peningkatan pertukaran maklumat akademik dan penyelidikan di kalangan institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.

Perundingan kali ini turut melihat peluang cerah dalam beberapa perdagangan dan industri halal global yang boleh disertai kedua-dua sektor swasta khususnya usahawan Islam.

Namun, daya saing mesti saling melengkapi dalam membina industri halal masing-masing ke paras lebih tinggi seperti mensinergikan kepakaran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dalam pembangunan jenama dan pemasaran dengan makmal latihan forensik halal di Pusat Sains Halal, Universiti Chulalongkorn.

Sementara itu, Abhisit yang mempromosikan soal perhubungan berkata, ia mesti berlaku membabitkan penduduk dengan penduduk dan pembangunan infrastruktur kedua-dua negara melalui lebuh raya, jambatan dan landasan kereta api.

"Kami setuju perhubungan seumpama itu memberi faedah kepada komuniti Asean," katanya pada sidang akhbar yang sama.

Bagi mempertingkatkan perhubungan fizikal Malaysia-Thailand dan serantau, kedua-dua pihak setuju mempercepatkan penyempurnaan Jambatan Persahabatan Dua dan Jambatan Persahabatan Tiga merentangi Sungai Golok dengan menghubungkan Sungai Golok dengan Rantau Panjang dan Tak Bai-Pangkalan Kubur.

"Thailand juga mengalu-alukan sumbangan terhadap pembangunan projek Landasan Kereta api Singapura-Kunming (SKRL) khususnya membina dua projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas.

"Kami juga mengambil perhatian berhubung cadangan Projek Lebuh Raya Terowong Satun-Perlis yang akan menggalakkan perdagangan, pelaburan serta pelancongan kedua-dua negara," kata Abhisit.

Kedua-dua negara turut bersetuju membincangkan kerangka kerja baru dalam transit barangan dan penumpang melalui Malaysia ke Singapura; dan transit barangan dan penumpang dari Malaysia ke Kemboja, Laos serta Myanmar pada Februari depan.

Ini akan menggalakkan lagi kelancaran perjalanan perkhidmatan pengangkutan dan perhubungan ekonomi lebih baik bagi kedua-dua negara selain negara anggota Asean lain.