10 April, 2022

KERJASAMA MALAYSIA THAILAND

 

Kerjasama Malaysia, Thailand inisiatif baru masa depan Asean

Oleh Kamal Ahmad


mohdkamal@bharian.com.my

DUA perjanjian dan dua memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani tahun depan. Demikian antara hasil produktif serta komprehensif Perundingan Tahunan Keempat Malaysia-Thailand di Bangkok, 8 Disember lalu. Ini bukti tahap perhubu-ngan membabitkan kerjasama, komitmen dan persefahaman kedua-dua negara berada pada tahap cukup baik.

Perjanjian Menyeberang Sempadan, Perjanjian Bidang Belia dan Sukan, MoU Memerangi Penyeludupan Manusia serta MoU Kerjasama Bidang Pendidikan Tinggi akan ditandatangani dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Kami setuju sama-sama meneroka peluang baru sejajar perubahan landskap global. Selain itu, kami mahu semua perkara tertunggak diselesaikan menjelang Perundingan Tahunan Kelima di Kuala Lumpur, tahun depan. Maknanya semua perjanjian dan MoU mesti selesai menjelang perundingan itu," kata Datuk Seri Najib Razak, pada sidang akhbar bersama rakan sejawatnya, Abhisit Vej-jajiva selepas Perundingan Tahunan Keempat Malaysia-Thailand kira-kira sejam di Rumah Kerajaan, Bangkok itu.

Sesi itu disertai menteri dan timbalan menteri dari 10 kementerian masing-masing. Kerjasama keselamatan dalam perundingan kali ini menyentuh isu merentas sempadan dan kerjasama di Wilayah Sempadan Selatan (SBP) Thailand; perhubungan penduduk dengan penduduk; pergolakan di selatan Thailand; pembangunan infrastruktur serta kerjasama ekonomi.

Kedua-dua pemimpin juga setuju mekanisme kerjasama seperti Jawatankuasa Bersama Untuk Mesyuarat Kerjasama Dua Hala (JC) dan Strategi Pembangunan Bersama Untuk Kawasan Sempadan (JDS) dipengerusikan bersama Menteri Luar kedua-dua negara. Kedua-dua mekanisme ini menjadi medium berkesan dua negara membincangkan isu bersama dan memudahkan kerjasama dalam beberapa bidang.

"Saya juga menjemput sekumpulan misi pelaburan Thailand ke Kuala Lumpur awal tahun depan untuk berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan dalam melihat peluang melabur di Malaysia.
"Saya mahu melihat kerjasama dengan Thailand sebagai model dua jiran rapat boleh bekerjasama sebagai rakan kongsi tulen. Malaysia rakan kongsi dalam pembangunan ekonomi. Malaysia rakan kongsi dalam soal keselamatan untuk menjadikan kedua-dua negara lebih selamat dan rantau ini lebih aman.

"Malaysia juga rakan kongsi Thailand dalam membina inisiatif baru untuk masa depan dalam konteks Asean serta komuniti global," katanya Najib lagi.

Beliau berkata, kedua-dua negara akan meneruskan perbincangan membabitkan beberapa perkara termasuk mencari jalan menyelesaikan masalah teknikal menghubungkan data sistem Smartcard Thailand dan MyKad Malaysia dalam usaha mengenal pasti individu memiliki dua kewarganegaraan.

Najib berkata, Malaysia dan Thailand turut menyentuh mengenai kepentingan integrasi ekonomi di kalangan kedua-dua ekonomi selain integrasi lebih kukuh dalam koridor utara dengan wilayah selatan Thailand. Kedua-dua negara juga boleh menganjurkan program khusus melihat peluang di koridor itu seperti pekerjaan dan pelaburan selain kerjasama dalam pemprosesan serta memperkenalkan teknologi baru menoreh getah.
Kedua-dua pihak turut setuju membincangkan di bawah kerangka kerja JDS untuk memperincikan cadangan menghubungkan Pelan Pembangunan Selatan (SDP), Thailand dengan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) dan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Mengenai MoU dalam bidang pendidikan tinggi, beliau berkata ia akan ditandatangani pada suku pertama 2010. Memorandum itu untuk menggalakkan peningkatan pertukaran maklumat akademik dan penyelidikan di kalangan institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.

Perundingan kali ini turut melihat peluang cerah dalam beberapa perdagangan dan industri halal global yang boleh disertai kedua-dua sektor swasta khususnya usahawan Islam.

Namun, daya saing mesti saling melengkapi dalam membina industri halal masing-masing ke paras lebih tinggi seperti mensinergikan kepakaran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dalam pembangunan jenama dan pemasaran dengan makmal latihan forensik halal di Pusat Sains Halal, Universiti Chulalongkorn.

Sementara itu, Abhisit yang mempromosikan soal perhubungan berkata, ia mesti berlaku membabitkan penduduk dengan penduduk dan pembangunan infrastruktur kedua-dua negara melalui lebuh raya, jambatan dan landasan kereta api.

"Kami setuju perhubungan seumpama itu memberi faedah kepada komuniti Asean," katanya pada sidang akhbar yang sama.

Bagi mempertingkatkan perhubungan fizikal Malaysia-Thailand dan serantau, kedua-dua pihak setuju mempercepatkan penyempurnaan Jambatan Persahabatan Dua dan Jambatan Persahabatan Tiga merentangi Sungai Golok dengan menghubungkan Sungai Golok dengan Rantau Panjang dan Tak Bai-Pangkalan Kubur.

"Thailand juga mengalu-alukan sumbangan terhadap pembangunan projek Landasan Kereta api Singapura-Kunming (SKRL) khususnya membina dua projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas.

"Kami juga mengambil perhatian berhubung cadangan Projek Lebuh Raya Terowong Satun-Perlis yang akan menggalakkan perdagangan, pelaburan serta pelancongan kedua-dua negara," kata Abhisit.

Kedua-dua negara turut bersetuju membincangkan kerangka kerja baru dalam transit barangan dan penumpang melalui Malaysia ke Singapura; dan transit barangan dan penumpang dari Malaysia ke Kemboja, Laos serta Myanmar pada Februari depan.

Ini akan menggalakkan lagi kelancaran perjalanan perkhidmatan pengangkutan dan perhubungan ekonomi lebih baik bagi kedua-dua negara selain negara anggota Asean lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan