20 April, 2022

BUDAYA ILMU

 

Budaya Ilmu


Ilmu ialah satu perkara asas yang menjadi pokok pembinaan dan tamadun sesebuah bangsa. Pembinaan ilmu yang bersepadu seharusnya menjurus kepada kemampuan manusia membudaya dan memanfaatkan nya. Dengan adanya pembudayaan ilmu akan membawa kepada peningkatan intelektualisme, pemikiran, budaya hidup, dan pembangunan insaniah. Pencarian ilmu sewajarnya dipelbagaikan dan tidak terhad kepada beberapa bidang ilmu sahaja.


Langkah-langkah Mempertingkatkan Budaya Ilmu


  1. Mengubah tanggapan konsep belajar bukan semata-mata mengejar kecemerlangan akademik tetapi kefahaman dan penghayatan kepentingan ilmu yang dipelajari agar dapat dimanfaatkan. Konsep berasaskan peperiksaan dalam sistem pendidikan negara perlu dinilai semula.
  2. Pelajar mesti dibekalkan dengan kukuh kaedah pembelajaran berkesan yang menekankan kemahiran mencatat nota, teknik membaca, mendengar, dan kemahiran penting yang lain.
  3. Kaedah Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) dalam kelas patut ditingkatkan agar lebih kreatif dan dapat menjana daya keintelektualan pelajar. Mencari dan mengkaji kekangan dan masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah agar mendapat formula terbaik dalam mendidik pelajar.
  4. Program-program ilmu mestilah diperbanyak untuk proses percambahan minda melalui diskusi ilmu dan penulisan buku-buku ilmiah. Penggunaan teknologi elektronik kini seperti internet patut dimanfaatkan.
  5. Aktiviti pemugaran ilmu wajar diperluas dengan membaca, memahami, dan menghayati apa-apa bahan bacaan ilmiah seperti majalah, jurnal, buku-buku, dan lain-lain. Majlis-­majlis ilmu juga patut selalu dihadiri dengan berguru, berkumpulan, dan berbincang.
  6. Peranan ibu bapa amat penting bagi memupuk budaya sayang akan ilmu sejak di bangku sekolah. Ibu bapa yang prihatin akan dapat menyumbang sesuatu yang bererti kepada masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan