31 Disember, 2009

BOLEHKAN UNTA MASUK LUBANG JARUM?

Pada suatu hari di dalam perjalanan Nabi Musa dan orang orangnya ke bukit Tur, beliau bertemu dengan seorang lebai yang sentiasa beribadat, lalulah lebai tersebut bertanya Nabi Musa a. s. katanya,“Wahai Nabi Allah ke mana tuan hendak pergi?”Nabi Musa a.s. menjawab, saya hendak ke bukit Tur, orang tersebut berkata lagi, kalau begitu tuan tolong tanya Allah S.W.T. di Syurga manakah beliau hendak tempatkan saya nanti?
Nabi Musa a.s. jawab baiklah, lalulah beliau meneruskan perjalanannya itu, tak lama selepas itu, beliau bertemu dengan seorang lelaki yang sedang menabur duri di jalan (laluan) melihat kerja orang itu, lalulah Nabi Musa a.s. melarangnya supaya tidak buat sedemikian, kata orang itu, wahai Nabi Allah (S.W.T.) saya adalah seorang yang sentiasa buat jahat, tetapi hari ini, saya tiada kerja jahat yang lain hendak saya lakukan, sebab itu saya buat kerja ini, dan saya gembira jika ada orang yang terpijak duri-duri ini. Nabi Musa a.s. memberitahunya, bahawa kerja itu adalah tidak baik, dan berdosa, kemudian orang jahat tersebut pula bertanya Nabi Musa a.s. ke mana beliau hendak pergi, jawabnya ke bukit Tur, kata orang itu lagi, kalau begitu, tuan boleh tanya Allah S.W.T. Neraka manakah ia hendak tempatkan saya?, “Baiklah” kata Nabi Musa a.s.
Apabila Nabi Musa a.s. selesai dari urusannya di bukit Tur, beliau terus bertanyakan 2 pertanyaan dari umatnya itu kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T memberi jawapan kepadanya, Firmannya sebelum aku memberitahu tempat mereka berdua itu, kamu hendaklah bertanya mereka berdua itu terlebih dahulu, dan kamu hendaklah tanya tok lebai itu dulu. Soalannya ialah, katakan kepada mereka berdua, Bahawa aku hendak bawa masuk bapa unta ke dalam lubang jarum, apa jawapan mereka.
Nabi Musa a.s. dan rombongannya mula kembali ke kampungnya, apabila beliau telah sampai di kampung, lalulah beliau pergi mencari kedua orang tersebut, apabila beliau bertemu dengan mereka, Nabi Musa a.s. memberitahu tok lebai, bahawa Allah S.W.T. bertanya kamu, apakah kefahaman (akidah) kamu berhubung dengan cadangan Allah S.W.T. hendak membawa masuk bapa unta ke dalam lubang jarum? Jawab tok lebai tersebut,
Ini mana boleh, benang pun susah masuk ke dalam lubang jarum, bagaimana pula dengan bapa unta.
Lepas itu Nabi Musa a.s. pergi mencari orang jahat pula, apabila bertemu,lalulah Nabi Musa a.s. berkata kepadanya, soalan kamu dulu telah aku tanyakan, dan Allah S.W.T. bertanya kamu sebelum hendak menjawab soalan kamu itu, soalan itu pun dikemukakan oleh Nabi Musa a.s. kepada orang jahat tersebut, dan beliau pun menjawab,
Jika Allah S.W.T. hendak bawa masuk bapa unta ke dalam lubang jarum sudah tentu boleh, bahkan jika mahu masukkan Dunia ini ke dalam lubang jarum dapat (boleh), diakan Tuhan, sudah tentu dapat (boleh) dilakukan olehnya.
Allah S.W.T. pun memberi jawapan kepada Nabi Musa a.s. tentang 2 soalan umatnya itu, iaitu tempat asal bagi Tok lebai di dalam syurga…diberi kepada orang jahat, kerana akidahnya betul, dan pula tempat asal bagi orang jahat itu diberi kepada tok lebai, kerana akidahnya tidak betul. Orang jahat tersebut selepas itu, telah bertaubat dan menjadi ahli ibadat yang terkenal.

15 Disember, 2009

SISTEM TERBUKA

Sistem Terbuka.


Sistem terbuka mempunyai sempadan yang nyata. Tenaga dan bahan bebas keluar masuk melalui sempadannya.


Terangkan kitar hidrologi sebagai contoh sistem terbuka


  1. Proses sejatan permukaan badan-badan air dan sejatpeluhan oleh tumbuhan.
  2. Wap air mengalami proses pemeluwapan membentuk awan.
  3. Akhirnya terbentuk hujan.
  4. Air di bumi akan mengalami proses sejatan dan sejatpeluhan semula.

SISTEM SECARA RINGKAS

Huraikan secara ringkas tentang sistem    (STPM 2003)


Sistem ialah satu kumpulan objek (parameter) yang berada dalam satu kawasan (sempadan arbitrari).

Ciri-ciri sistem


  1. Berorganisasi
  2. Berbentuk
  3. berfungsi
  4. berkaitan
  5. bersempadan
  6. berangkubah
  7. bermatlamat mencapai keseimbangan



Jenis-jenis sistem


  1. sistem terpencil
  2. sistem tertutup
  3. sistem terbuka

SISTEM TERPENCIL DAN SISTEM TERTUTUP

Jelaskan konsep sistem terpencil dan sistem tertutup dalam alam sekitar fizikal

Sistem terpencil:

Mempunyai sempadan tertutup dan tidak membenarkan keluar masuk tenaga dan bahan ke dalamnya. Sistem ini tidak wujud dalam alam nyata hanya terdapat dalam makmal. Contohnya gas dalam tabung uji.


Sistem tertutup:-

Mempunyai sempadan tertentu. Sempadan sistem ini hanya membenarkan pertukaran tenaga sahaja. Ini bermakna tenaga dapat masuk dan keluar melaluinya tetapi output bahan tidak berlaku.  Contohnya bumi dan matahari.

13 Disember, 2009

MAKSUD SISTEM

Apakah maksud sistem dari sudut pandangan alam sekitar fizikal?


Sistem adalah satu set objek atau angkubah (perimeter) yang berada dalam satu sempadan arbitrari. Sistem mempunyai interaksi antara angkubah kerana sifatnya yang saling berkaitan antara angkubah.

Sistem mempunyai sempadan. atribut dan perhubungan.

14 November, 2009

PELANCONGAN (PART 1)

Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pelancongan

 

 

Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembanguna negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

 

Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara. Banyak produk pelancongan yanng wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.

 

Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetetif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

 

Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan antarabangsa memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan. Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjung negara ini bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil menyelam minum air. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.

 

Selain itu, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Malaysia Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini mennyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetetif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.

 

Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.

11 November, 2009

KESEJAHTERAAN NEGARA

Menurut Perdana Menteri yang ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi, negara akan mempunyai ekonomi yang kukuh dan stabil jika masyarakat mempunyai pemikiran yang betul, sikap yang betul, nilai budaya yang stabil dan institusi sosial yang kukuh. Ulaskan pernyataan tersebut.

09 November, 2009

IBU TUNGGAL

Wanita ialah pemangkin kesejahteraan keluarga. Wanita terutama ibu tunggal mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membesarkan anak-anak mereka. 

Huraikan masalah yang dihadapi oleh ibu tunggal dan cara untuk membantu mereka.




Masalah ibu tunggal merupakan salah satu isu yang sering dipertikaikan dalam masyarakat kita.Fenomena ini didapati meningkat secara berterusan sejak kebelakangan tahun ini. memang tidak dinafikan bahawa sebagai seorang ibu perlu memainkan peranan bapa pada masa yang sama sesuatu yang agak susah.Tambah pula, cabaran masa kini yang begitu kuat menyebabkan masalah mereka menjadi semakin meruncing.

 

Fenomena ibu tunggal ini telah memberi kesan kepada wanita yang terbabit dan anak-anaknya secara tidak langsung. Oleh itu,bantuan terhadap golongan tersebut adalah wajar. Ibu tunggal meliputi mereka yang mendapat anak tanpa pernikahan yang sah dan memilih untuk memelihara anak tersebut, isteri yang telah suaminya meninggal dunia , isteri yang telah ditinggalkan/ diceraikan serta tidak diberi nafkah untuk menyara kehidupan. Sebagai seorang ibu tunggal, mereka bertanggungjawab membesarkan anak-anak tanpa pertolongan suami. Seperti mana yang kita tahu, golongan ibu tunggal sering menghadapi masalah dalam proses mendidik anak-anaknya, terutamanya ibu tunggal yang kurang berpendidikan dan berpendapatan kecil. Masalah yang dihadapi oleh mereka meliputi masalah ekonomi, sosial, psikologi dan hubungan dengan mahkamah.

 

Masalah ekonomi merupakan cabaran utama golongan ibu tunggal. Bagi isteri yang selama ini merupakan suri rumahtangga, bukanlah sesuatu yang mudah untuk mereka mencari peluang pekerjaan di luar. Keadaan menjadi teruk bagi mereka yang tidak berpendidikan. Sekiranya mereka mendapat kerja,masalah penjagaan anak perlu diselesaikan jua. Makanya, untuk menyelesaikan masalah ini ramai ibu tunggal yang memilih untuk bekerja atau berniaga sendiri. Namun, ini hanya mendatangkan pendapatan yang kecil. Sumber kewangan yang terhad menghadkan pilihan mereka dan menyebabkan golongan ini hanya mampu menikmati kualiti hidup yang rendah.

 

Masalah sosial juga wujud sekiranya ibu tunggal yang mengatakan dirinya terpaksa melibatkan diri dengan jenayah sosial seperti pelacuran, penagihan dadah dan jenayah kecurian demi menyara anak-anaknya. Taraf hidup yang tinggi di kawasan bandar memaksa golongan ini tinggal di tempat tinggal yang kurang memuaskan. Ini memdedahkan mereka kepada ancaman sosial seperti rogol, peras ugut dan sindiran orang lain. Ibu tunggal harus diberi pendedahan tentang prosedur permohonan skim perumahan kos rendah yang disediakan oleh kerajaan dan pelbagai bantuan yang diberi oleh pihak kerajaan ataupun swasta. Bantuan sosial juga berlaku dalam pelbagai bentuk. Satu daripadanya ialah pemberian pengetahuan, latihan dan kemahiran bagi membolehkan ibu tunggal memulakan perniagaan mereka dan berdikari. Pengetahuan tentang selok-belok perniagaan, misalnya, boleh dimanfaatkan oleh mereka. Kemahiran kerja tangan, memasak, menggubah dan mengandam pula boleh dijadikan aset untuk mereka memulakan perniagaan.

 

Masalah psikologi juga dihadapi oleh golongan ibu tunggal. Hal ini disebabkan tanggapan negatif masyarakat terhadap mereka. Golongan ini sering kali tidak menjadi pilihan majikan memandangkan tanggungjawab mereka yang mungkin akan mengganggu kerja mereka. Ibu tunggal yang tiba-tibanya kehilangan suami dan tempat bergantung menyebabkan kehancuran perangkatan jiwanya. Dalam keadaan ketiadaan suami sebagai pencari rezeki mereka terpaksa bergantung kepada diri sendiri. Stigma yang dikenakan terhadap mereka oleh masyarakat telah memburukkan keadaan. Disebabkan kegagalan memberikan sebuah keluarga yang bahagia kepada anak-anak mereka, kebanyakan ibu tunggal berasa bersalah. Tekanan hidup atas sebab kesempitan wang juga membawakan pelbagai kesan negatif.

 

Bagi ibu tunggal akibat perceraian, tidak kurang yang menghadapi masalah dalam berurusan dengan Mahkamah. Mereka mengakui sering dipersendakan, tidak dilayan dengan adil, terpaksa berulang-alik ke Mahkamah untuk menyelesaikan kes dan seumpamanya. Pihak Mahkamah pula mengatakan wanita-wanita ini tidak tahu undang-undang serta prosedur mahkamah dan tidak tahu hak mereka. Majoriti dari mereka ini juga menghadapi masalah dengan bekas suami yang enggan bekerjasama terutamanya dalam hal memberi nafkah untuk anak-anak yang sebenarnya merupakan tanggungjawab mereka.


08 November, 2009

PERUMAHAN


SOALAN


Media massa sering menyiarkan rungutan dan aduan pembeli-pembeli rumah terhadap pemaju perumahan dan terdapat pembeli rumah yang memajukan kes mereka kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah untuk menuntut keadilan.

 

Bincangkan sebab-sebab yang menimbulkan rungutan dan aduan pembeli-pembeli rumah itu.



CADANGAN ISI JAWAPAN


Isi-isi

 

  1. Hasil kerja yang kurang bermutu dan bahan binaan yang digunakan bermutu rendah
  2. Rumah tidak dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan
  3. Rumah tidak disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan
  4. Projek perumahan terbengkalai kerana pemaju perumahan menghadapi masalah kewangan





07 November, 2009

KOKURIKULUM

Mulai tahun 2006, kokurikulum dianggap penting kerana telah menjadi 10 peratus merit akademik dalam pemilihan para pelajar ke universiti tempatan. Justeru, usaha menggalakkan para pelajar melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum harus dilakukan. Bincangkan.

06 November, 2009

PENDERAAN KANAK-KANAK PART 1




PENDERAAN KANAK-KANAK

 

Pengenalan

  1. Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup sihat dan bebas dari keganasan. 
  2. Setiap tahun, sekurang-kurangnya 2,000 kanak-kanak di Malaysia dilaporkan menjadi mangsa penderaan dan pengabaian kanak-kanak. 
  3. Penderaan kanak-kanak adalah masalah global yang besar. 
  4. Ia memberi impak serius terhadap kesihatan mental dan pertumbuhan fizikal kanak-kanak, kehidupan dan perkembangan sepanjang kehidupan mereka, dengan itu ia menjadi masalah masyarakat secara amnya.

 

Mitos dan Realiti Penderaan Kanak-kanak

 

Apakah Penderaan Kanak-kanak?

  1. Penderaan kanak-kanak merujuk kepada penderaan secara fizikal dan emosi, penderaan seksual, kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak, termasuk sebarang bentuk eksploitasi dan komersial,
  2. Merangkumi semua jenis penderaan fizikal dan/atau emosi, penderaan seksual, pengabaian atau kelalaian atau eksploitasi komersial atau lain-lain eksploitasi, yang boleh atau telah menyebabkan kerosakan, kepada kesihatan kanak-kanak, dari segi kehidupan, perkembangan atau harga diri. 
  3. Ini adalah dalam konteks di mana pendera ada perhubungan tanggungjawab atau kuasa atas kanak-kanak berkenaan atau pendera ialah seseorang yang dipercayai oleh kanak-kanak itu – WHO pasukan pencegah kecederaan keganasan,1999.
  4. Penderaan Kanak-kanak secara amnya dibahagikan kepada empat jenis penderaan termasuk :
    1. Penderaan fizikal
    2. Penderaan Seksual
    3. Penderaan Emosi
    4. Pengabaian

 

Jenis-jenis Penderaan Kanak-kanak


A) Penderaan fizikal

  1. Kecederaan fizikal (dari kecederaan ringan sehingga kecederaan teruk seperti patah atau kematian). 
    • Disebabkan oleh tumbukan, tamparan, sepakan, gigitan, goncangan, campakkan, tikaman, tercekik, pukulan (menggunakan tangan, kayu, atau sebarang objek) ,atau apa-apa yang mencederakan kanak-kanak.
    • Dikenal pasti sebagai penderaan tidak kira sama ada penjaga berniat untuk mencederakan kanak-kanak atau tidak.
  2. Tidak selalunya ada niat untuk menyakitkan atau menyebabkan kecederaan.
    • Ia mungkin disebabkan dari tujuan untuk mendisiplinkan yang berlebihan atau hukuman fizikal. 
    • Gangguan dari tangisan bayi dan ketidakbolehan untuk mengendalikannya
  3. Buli, dan “shaken baby syndrome” termasuk dalam penderaan fizikal

 

B) Penderaan Seksual

  1. Sebarang aktiviti yang bermaksud untuk mendapat kepuasan dan memenuhi kehendak orang dewasa atau kanak-kanak remaja di mana mengikut umur atau perkembangan yang sepatutnya bertanggungjawab dan dipercayai. Ini termasuk: 
    • Mempengaruhi atau memaksa kanak-kanak dalam aktiviti seksual yang bertentangan dengan undang-undang.
    • Ini termasuk eksploitasi komersial melalui pelacuran atau penghasilan gambar lucah
  2. Setiap kanak-kanak berhak mempunyai seorang dewasa yang dapat menyayangi dan menyokong mereka untuk membesar

 

C) Penderaan emosi

  1. Biasanya sukar untuk dibuktikan
  2. Biasanya berlaku bersama lain jenis penderaan dikenal pasti
    • Memperkecilkan (termasuk kaki buli di sekolah)
    • Kerap mengenakan orang lain
    • Memperkecil dan memalukan
    • Menolak perawatan
    • Mengurung kanak-kanak seperti dalam almari gelap

 

D) Pengabaian

  1. Pengabaian berlaku apabila kanak-kanak tidak mendapat keperluan asas yang diperlukan dari orang dewasa

    • Fizikal – (contohnya kegagalan untuk menyediakan keperluan seperti makanan, tempat perlindungan, atau kekurangan pengawasan untuk keselamatan yang sepatutnya)
    • Perubatan – (contohnya untuk menyediakan perubatan atau perawatan kesihatan mental)
    • Pendidikan dan penyeliaan – (contohnya kegagalan untuk memberi pendidikan atau memenuhi keperluan khas yang lain)
    • Emosi
      • Tidak memberi perhatian kepada keperluan emosi kanak-kanak
      • Kegagalan untuk menyediakan penjagaan psikologi
      • Membenarkan kanak-kanak untuk menggunakan alkohol atau dadah lain
    • Diambil kira nilai budaya, piawaian penjagaan dan faktor kemiskinan sebelum kes dilaporkan sebagai kes pengabaian.


Apakah ukuran permasalahan ini di Malaysia?

Penderaan kanak-kanak berlaku di mana-mana termasuk di Malaysia, bagaimanapun ianya masih kurang dilaporkan sama seperti mana-mana bahagian lain di dunia. Kes yang dilaporkan ini juga hanyalah sebahagian kecil berbanding dengan kes-kes penderaan yang tidak dilaporkan.



Faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya penderaan


  1. Perbalahan keluarga
  2. Kaki botol / Pemabuk
  3. Hyperaktif
  4. Dipelihara oleh orang lain semasa kecil
  5. Pendera juga mangsa dera
  6. Pendera alami masalah kesihatan mental
  7. Kaki judi
  8. Anak tiri/angkat anak orang lain
  9. Kepercayaan karut/adat
  10. Penagih
  11. Kecuaian Ibu bapa/Penjaga
  12. Masalah kewangan
  13. Anak tidak sah taraf
  14. Terlibat dengan jenayah
  15. Gila seks
  16. Bayi/kanak-kanak cacat
  17. Mengikut teman lelaki
  18. Lain-lain 
    • Kediaman tidak selesa
    • Ibu berkahwin lain
    • Kanak-kanak nakal
    • Panas baran
    • Terlibat dengan jenayah
    • Bayi/kanak-kanak cacat
    • Gila seks

Sumber : Jabatan Kebajikan Masyarakat 2018

RASIONAL

  1. Berdasarkan kategori faktor-faktor yang telah dinyatakan, dapat dilihat kebanyakan kes penderaan yang berlaku di Malaysia adalah berpunca daripada pemangsa atau ibu bapa kanak-kanak tersebut. 
  2. Cabaran kehidupan pada zaman ini dilihat mempengaruhi faktor-faktor yang direkodkan tersebut. Justeru, tidak dapat tidak, semua pihak perlu memainkan peranan dalam menangani masalah yang semakin membimbangkan ini. 

Peranan Pihak Berautoriti dalam Menangani Kes Penderaan Kanak-Kanak


  1. Dalam usaha menangani kes penderaan kanak-kanak, semua pihak terutamanya badan berautoriti harus bekerjasama dan berganding bahu bagi mengelakkan angka-angka ini daripada terus meningkat. 
  2. Dari aspek undang-undang, tidak dinafikan, penguatkuasaan undang-undang terhadap pendera dalam memelihara dan mempertahankan hak kanak-kanak yang semakin tegas pada masa kini sehingga mewujudkan mahkamah jenayah khas untuk kanak-kanak adalah satu usaha yang wajar dipuji. 
  3. Walau bagaimana pun, masih terdapat banyak ruang-ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan terutamanya berkaitan garis panduan khas pengendalian kes atau prosedur operasi dalam proses pendakwaan serta perbicaraan dan penghakiman kes (Norazla 2017). Walaupun mahkamah ini baru sahaja diwujudkan, namun pemerkasaan yang dilaksanakan dengan lebih awal serba sedikit akan membantu mengurangkan kes penderaan kanak-kanak. Hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah sewajarnya menjadi tauladan kepada para ibu bapa dan masyarakat agar terus menghindari penganiayaan terhadap kanak-kanak.
  4. Dari sudut komunikasi dan media massa, medium ini perlu dimanfaatkan oleh pihak bertanggungjawab dalam meneruskan kempen kesedaran terhadap masalah penderaan kanak-kanak tanpa mengira musim tertentu dan medium tertentu sahaja. 
  5. Intipati rancangan, drama, berita serta iklan-iklan di kaca televisyen, corong radio, akhbar-akhbar perlu menekankan mesej kesedaran ini dengan baik sehingga penerapan terhadap sikap anggota masyarakat dapat dibentuk. Malah, menurut Noor Muhamad (2015) kempen ini seharusnya diberi nafas baru seperti menukar kempen ke medium alternatif iaitu media sosial yang menjadi tumpuan dan kebergantungan utama masyarakat pada hari ini. Kempen-kempen yang telah dijalankan sebelum ini sewajarnya dibuat semakan dan penilaian bagi mengetahui sejauh mana keberkesanannya.
  6. Badan autoriti merupakan institusi utama yang harus menggalas tugas mengurangkan kes penderaan dalam kalangan kanak-kanak di samping badan-badan bukan kerajaan lain serta masyarakat. 
  7. Badan-badan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Pembangunan Penduduk, Keluarga dan Negara, Jabatan Agama serta agensi-agensi lain yang terlibat secara langsung dengan keluarga dan masyarakat harus bertindak dengan lebih proaktif untuk mendekati masyarakat dan menyelami permasalahan mereka. 
  8. Program-program kesedaran, kemahiran keibu-bapaan, pemantapan kerohanian serta aktiviti-aktiviti keluarga boleh dirancakkan mengikut lokaliti setempat di setiap negeri-negeri di Malaysia. Tumpuan harus diberikan kepada negeri yang mencatatkan kes penderaan yang tinggi tanpa mengabaikan negeri lain yang mencatatkan rekod sederhana dan sedikit.

KESIMPULAN


  1. Secara umumnya, terdapat banyak faktor berlakunya kes penderaan kanak-kanak di Malaysia. Faktor-faktor ini termasuklah berpunca daripada pemangsa iaitu ibu bapa, mangsa iaitu kanak-kanak serta lain-lain sebab. Faktor-faktor ini sewajarnya diberikan perhatian oleh masyarakat dan badan autoriti dalam menangani kes penderaan yang semakin membimbangkan. Keutamaan juga perlu diberikan kepada negeri-negeri yang mencatatkan rekod kes penderaan yang tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah tanpa mengabaikan negeri-negeri yang lain. Usaha untuk merawat punca sebelum terjadinya kes-kes penderaan ini perlu terus diambil perhatian dan tindakan untuk dijalankan.
  2. Malah inisiatif daripada individu setiap angota masyarakat juga perlu diusahakan. Pemerkasaan amalan-amalan keagamaan dalam kehidupan termasuklah penghayatan akidah dan pengamalan adab keluarga Islam, penglibatan dalam seminar-seminar keibubapaan, bacaan mendalam berkaitan ilmu-ilmu kekeluargaan adalah antara usaha yang perlu dipupuk ke dalam diri setiap anggota masyarakat dalam melahirkan keluarga yang sejahtera. Penghayatan terhadap matlamat terbinanya rumahtangga ini pasti dapat mengelakkan serta mengurangkan masalah-masalah di dalam sesebuah keluarga sehingga tercetusnya kes penderaan terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah.
  3. Kanak-kanak ini sewajarnya dipelihara dan dididik dengan baik dan penuh kasih sayang agar mereka dapat membesar dan berkembang sebagai individu yang boleh menyumbang kepada agama, negara dan bangsa, kerana merekalah yang bakal mewarisi serta mencorakkan masa depan negara suatu masa nanti. Tidak dapat tidak, kajian berkaitan keluarga sejahtera dan selamat serta kajian terhadap penghayatan keagamaan terutamanya akidah dan adab kekeluargaan Islam harus terus diperkayakan agar dapat menjadi panduan dan bimbingan kepada masyarakat khususnya ibu bapa. Diharapkan kajian berkaitan analisis faktor-faktor penderaan kanak-kanak ini dapat membuka mata masyarakat serta dijadikan sempadan dalam kehidupan.








03 November, 2009

TANDAS SEKOLAH KITA

Langkah-langkah untuk mengekalkan kebersihan tandas di sekolah.

 

 

            Tandas di sekolah adalah salah satu kemudahan khas bagi murid-murid dan guru-guru menggunakannya. Kebersihan tandas di sekolah menjadi perkara yang sangat sensitif bagi ibu bapa dan para pelajar. Ada ibu bapa daripada golongan elit inginkan tandas yang bersih tetapi tidak mengizinkan anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti menjaga kebersihan tandas. Oleh itu sikap hidung tinggi ini harus dibendung jika inginkan tandas yang bersih. Orang tua-tua pernah berkata, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing menepati usaha kerjasama antara guru dan murid untuk berganding bahu menjaga kebersihan tandas di sekolah. Persoalannya, apakah langkah-langkah untuk mengekalkan kebersihan tandas sekolah?

 

            Pada pendapat saya, antara usaha untuk mengekalkan kebersihan tandas adalah dengan melakukan aktiviti pembersihan secara berkala. Aktiviti pembersihan dilakukan secara bergotong – royong dan mengikut giliran tingkatan berdasarkan jadual yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana pembersihan tandas secara berkala oleh murid-murid dapat menjamin kebersihan tandas secara berterusan. Sebagai contoh, aktiviti ini boleh dilakukan pada waktu kokurikulum atau semasa program gotong-royong perdana. Tegasnya usaha mengekalkan kebersihan tandas dapat memupuk sifat cinta akan kebersihan dan semangat bersatu padu, bersesuaian dengan kata pepatah, bersatu teguh, bercerai roboh.

 

            Selain itu, kempen berterusan juga dapat dikenal pasti sebagai salah satu langkah yang perlu dilakukan untuk mengekalkan kebersihan tandas di sekolah. Hal ini bermaksud, pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru,dan media massa haruslah berganding bahu  menjayakan kempen kebersihan tandas. Kempen ini boleh disiarkan melalui surat khabar, televisyen, radio, dan edaran risalah. “Kempen Tandas Lima Bintang” misalnya telah menarik minat murid-murid untuk meraih kemenangan dalam usaha menjaga kebersihan tandas. Secara tidak langsung, kempen kebersihan ini membentuk sikap prihatin terhadap kebersihan persekitaran terutamanya tandas sekolah. Tuntasnya, kebersihan sebahagian daripada iman benar-benar telah dihayati oleh murid-murid melalui usaha menjaga kebersihan tandas seumpama sambil menyelam minum air.

 

            Di samping itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberikan perhatian dan didikan tentang kebersihan tandas kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana, ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak, misalnya mencuci tandas selepas menggunakannya. Jika ibu bapa tidak menitik beratkan kebersihan, maka sikap buruk ini akan menjadi ikutan anak-anak, bapa borek anak rintik. Sikap ibu bapa yang pengotor, membuang puntung rokok di dalam tandas akhirnya menjadi alah bisa tegal biasa. Oleh itu ibu bapa mestilah memupuk sikap cinta akan kebersihan sejak kecil lagi kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.  Anak-anak bukannya ahli silap mata yang tiba-tiba menjadi seorang yang pembersih.

 

            Secara tuntasnya, semua pihak mestilah berusaha untuk mengekalkan kebersian tandas di sekolah agar kebersihan tandas dapat dikekalkan. Dalam hal ini, tandas sekolah akan menjadi lebih selesa untuk digunakan oleh murid-murid. Orang bijak pandai pernah berpesan, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, jika tandas tidak bersih, persekitaran sekolah akan tidak ceria. Oleh itu, semua pihak sewajarnya bersama-sama menjaga kebersihan tandas.