Langkah-langkah untuk mengekalkan kebersihan tandas di sekolah.
Tandas di sekolah adalah salah satu kemudahan khas bagi murid-murid dan
guru-guru menggunakannya. Kebersihan tandas di sekolah menjadi perkara yang
sangat sensitif bagi ibu bapa dan para pelajar. Ada ibu bapa daripada golongan
elit inginkan tandas yang bersih tetapi tidak mengizinkan anak-anak mereka
terlibat dalam aktiviti menjaga kebersihan tandas. Oleh itu sikap hidung
tinggi ini harus dibendung jika inginkan tandas yang bersih. Orang
tua-tua pernah berkata, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing menepati
usaha kerjasama antara guru dan murid untuk berganding bahu menjaga
kebersihan tandas di sekolah. Persoalannya, apakah langkah-langkah untuk
mengekalkan kebersihan tandas sekolah?
Pada pendapat saya, antara usaha untuk mengekalkan kebersihan tandas adalah
dengan melakukan aktiviti pembersihan secara berkala. Aktiviti pembersihan
dilakukan secara bergotong – royong dan mengikut giliran tingkatan berdasarkan
jadual yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana
pembersihan tandas secara berkala oleh murid-murid dapat menjamin kebersihan
tandas secara berterusan. Sebagai contoh, aktiviti ini boleh dilakukan pada
waktu kokurikulum atau semasa program gotong-royong perdana. Tegasnya
usaha mengekalkan kebersihan tandas dapat memupuk sifat cinta akan
kebersihan dan semangat bersatu padu, bersesuaian dengan kata pepatah, bersatu
teguh, bercerai roboh.
Selain itu, kempen berterusan juga dapat dikenal pasti sebagai salah satu
langkah yang perlu dilakukan untuk mengekalkan kebersihan tandas di sekolah. Hal
ini bermaksud, pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru,dan media massa
haruslah berganding bahu menjayakan kempen kebersihan tandas. Kempen ini
boleh disiarkan melalui surat khabar, televisyen, radio, dan edaran risalah.
“Kempen Tandas Lima Bintang” misalnya telah menarik minat murid-murid untuk
meraih kemenangan dalam usaha menjaga kebersihan tandas. Secara tidak langsung,
kempen kebersihan ini membentuk sikap prihatin terhadap kebersihan persekitaran
terutamanya tandas sekolah. Tuntasnya, kebersihan sebahagian daripada iman
benar-benar telah dihayati oleh murid-murid melalui usaha menjaga kebersihan
tandas seumpama sambil menyelam minum air.
Di samping itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberikan perhatian
dan didikan tentang kebersihan tandas kerana melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Hal ini demikian kerana, ibu bapa perlu menjadi
contoh kepada anak-anak, misalnya mencuci tandas selepas menggunakannya. Jika
ibu bapa tidak menitik beratkan kebersihan, maka sikap buruk ini akan menjadi
ikutan anak-anak, bapa borek anak rintik. Sikap ibu bapa yang pengotor, membuang
puntung rokok di dalam tandas akhirnya menjadi alah bisa tegal biasa.
Oleh itu ibu bapa mestilah memupuk sikap cinta akan kebersihan sejak kecil lagi
kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak
datang melayang. Anak-anak bukannya ahli silap mata yang tiba-tiba
menjadi seorang yang pembersih.
Secara tuntasnya, semua pihak mestilah berusaha untuk mengekalkan kebersian
tandas di sekolah agar kebersihan tandas dapat dikekalkan. Dalam hal ini, tandas
sekolah akan menjadi lebih selesa untuk digunakan oleh murid-murid. Orang bijak
pandai pernah berpesan, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat
sagunya, jika tandas tidak bersih, persekitaran sekolah akan tidak ceria. Oleh
itu, semua pihak sewajarnya bersama-sama menjaga kebersihan tandas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan